438,000 anak ikan, udang galah dilepaskan di Sungai Muda, beri manfaat ekonomi nelayan

img 3265

PERMATANG BERANGAN – Sebanyak 438,000 ekor anak ikan pelbagai spesies dan udang galah dilepaskan berhampiran Jambatan Merdeka, Sungai Muda bagi memberikan manfaat kepada nelayan sungai di kawasan sekitar.

Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata inisiatif tersebut dijalankan menerusi projek khas Kerajaan Negeri bersama-sama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Hari ini kita melepaskan 438,000 anak-anak ikan yang terdiri daripada spesies baung, lampam dan lain-lain lagi termasuk udang galah.

ad9274b1 2bc2 447c 878f f774a2c2019c

“Ini secara langsung akan memberi manfaat kepada nelayan-nelayan sungai untuk keterjaminan bekalan, sumber pendapatan seterusnya menjadi sumber makanan kepada rakyat juga.

“Bagi menjayakan projek ini, Kerajaan Negeri menjalankan projek khas bersama KPKM dengan nilai RM880,000 diperuntukkan untuk tahun ini sahaja bagi pelepasan di laut dan sungai,” ujarnya kepada Buletin Mutiara sejurus melepaskan anak-anak ikan tersebut berhampiran Jambatan Merdeka, Sungai Muda di sini pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan Pulau Pinang, Zarina Zainuddin dan Penolong Setiausaha Kanan (Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi), Siti Sakinah Mohd. Sharif.

Semalam, pelepasan anak-anak ikan turut berlangsung di perairan Pulau Jerejak.

86317df0 6454 4439 9e8c 8fc2289b9dd6

Selain Sungai Muda, pelepasan anak-anak ikan ini akan melibatkan Sungai Perai dan Sungai Kerian.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI