PANTAI JEREJAK – Sejak tahun 2009, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) telah menyalurkan sejumlah RM34.5 juta dana pinjaman mikrokredit yang kini dikenali sebagai Skim Pinjaman Harapan (SPH) kepada 4,499 orang usahawan layak di seluruh Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid, yang juga Exco Pembangunan Agama, Pendidikan dan Pengajian Tinggi serta Perpaduan Masyarakat, berkata demikian semasa merasmikan Karnival Usahawan SPH & Hari Terbuka PDC di perkarangan Bangunan PDC di sini pada 4 Oktober.
“SPH menyediakan kemudahan pinjaman patuh syariah dengan kadar yang tidak membebankan.
“(Dan) dengan jumlah pinjaman antara RM5,000 hingga RM50,000 serta tempoh bayaran balik yang fleksibel, skim ini terbuka kepada semua kaum tanpa mengira latar belakang.
“Statistik pemberian pinjaman mikrokredit kepada usahawan yang layak ini menggambarkan keberkesanan dasar Kerajaan Negeri yang inklusif,” jelasnya yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).
Exco Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; dan Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar turut menyertai majlis tersebut.
Dalam majlis sama, Mohamad yang juga ADUN Batu Maung turut memuji para penerima SPH yang komited dalam membayar balik pinjaman mikrokredit kepada PDC, sehingga kadar bayaran balik direkodkan mencecah 88 peratus.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberitahu bahawa PDC telah memperkenalkan skim khusus seperti Pinjaman Usahawan Kopi melalui kerjasama dengan KA Satu Socient Ventures – Vietpresso (M) Sdn. Bhd..
Menurutnya, pinjaman modal perniagaan yang ditawarkan adalah antara RM5,000 hingga RM12,000 dengan tempoh bayaran balik selama 100 minggu.
“PDC juga sedang melaksanakan projek Waterfront Foodie @Bayan Lepas bernilai RM5 juta yang dijangka siap pada 1 November 2025 serta menyediakan ruang niaga kepada 36 usahawan Bumiputera.
“Dataran Usahawan di Bandar Cassia turut dilaksanakan dengan kos RM26 juta dan dijangka siap pada suku keempat tahun 2027.
“Inisiatif ini membuktikan fleksibiliti PDC dalam menyesuaikan program bantuan dengan keperluan industri,” ujarnya lagi sambil merakamkan penghargaan kepada para usahawan SPH serta agensi kerajaan dan pihak swasta yang membuka reruai di sini.
Difahamkan, Kerajaan Negeri telah menjenamakan semula Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) sebagai Skim Pinjaman Harapan (SPH) secara rasmi pada 13 Oktober 2018.

Berucap sebelum itu, Aziz berkata, PDC sebagai agensi negeri akan terus komited untuk mewujudkan ekosistem pembangunan ekonomi yang berdaya saing di Pulau Pinang termasuk menyediakan sistem sokongan kepada para usahawan bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka.
Serentak pada majlis sama, Mohamad turut menyampaikan hadiah berupa dana modal perniagaan berjumlah RM1,500 seorang kepada lima penerima Anugerah Usahawan Cemerlang, yang mewakili lima daerah di negeri ini.
Selain itu, beliau turut menyampaikan sijil pembiayaan mikrokredit SPH dalam pelbagai jumlah pinjaman modal perniagaan kepada 10 penerima baharu.
Teks & Gambar: ZAINULFAQAR YAACOB