GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri terus komited dalam memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan melalui usaha berterusan dalam pembangunan dan penaiktarafan fasiliti kesihatan di seluruh negeri.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata, inisiatif ini merangkumi pembinaan kemudahan baharu, peningkatan kapasiti klinik kesihatan sedia ada serta penyediaan peralatan perubatan yang lebih moden dan efisien.
Langkah-langkah ini dilaksanakan bagi memastikan rakyat menerima akses perkhidmatan kesihatan yang lebih cepat, selamat dan berkualiti tinggi selaras aspirasi kerajaan untuk mempertingkat kesejahteraan rakyat dan memperkukuh kesiapsiagaan sistem kesihatan.
“Sebagai rekod, sehingga 14 November 2025, sejumlah 25 projek pembangunan dan naik taraf fasiliti kesihatan telah berjaya disiapkan.
“Manakala, 22 projek lagi sedang giat dilaksanakan yang mana 18 projek melibatkan kerja-kerja menaik taraf klinik daif dengan peruntukan RM8.9 juta serta satu projek roboh dan bina semula iaitu Klinik Desa Batu Feringghi yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang,” ujarnya.

Zi Sen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 19 November 2025.
Menurut Zi Sen, 17 daripada 47 projek pembangunan dan naik taraf fasiliti kesihatan dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).
Secara keseluruhan, jumlah peruntukan yang diluluskan untuk negeri Pulau Pinang adalah sebanyak RM16.9 juta bagi tahun 2025.
“Usaha ini jelas menggambarkan komitmen kerajaan baik pada peringkat Persekutuan mahupun Negeri dalam memastikan bukan sahaja fasiliti kesihatan sentiasa berada dalam keadaan terbaik malah demi kesejahteraan dan keselesaan rakyat,” katanya.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN