GEORGE TOWN – Menjelang sambutan Tahun Baru Cina 17 Februari ini, Jambatan Kedua Sdn. Bhd meneruskan komitmen menyantuni komuniti dengan menyumbang 100 bakul makanan kepada golongan yang memerlukan.
Penyerahan bakul makanan sempena Tahun Baru Cina ini merupakan pembuka tirai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) JKSB bagi tahun 2026 sebagai fokus terhadap bantuan komuniti berbilang kaum di Pulau Pinang.
Pengerusi JKSB, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim berkata, sebagai sebuah syarikat korporat, JKSB sentiasa menerapkan teras-teras madani seperti pembangunan ekonomi seimbang, kemanusiaan dan ihsan.
“Madani menunjukkan empati dan prihatin dalam tadbir urus supaya setiap dasar inisiatif memberi manfaat kepada semua golongan.
“JKSB juga terapkan nilai-nilai murni, apabila tiba sesuatu perayaan, seluruh lapisan masyarakat akan merasai kemeriahan, inilah keistimewaan kita, perbezaan bukan jurang sebalikya menjadi jambatan memperkukuhkan, semarakkan dan saling memahami,” ujarnya pada Majlis Sumbangan Prihatin Bakul Makanan Sempena Tahun Baru Cina dekat Kompleks Masyarakat Penyayang di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kebajikan Produktif Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), R. Chithartany; Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Dato’ Faisal Shahbudin dan Ketua Jabatan Komunikasi Korporat JKSB, Hani Sophia Hilmi.
Abdul Malik juga berharap, inisiatif tersebut dapat membantu meringankan beban penerima dalam membuat persiapan perayaan.
Sementara itu Chithartany ketika berucap memberitahu, sehingaa Disember 2025, seramai 20,055 orang di Pulau Pinang adalah penerima bantuan JKM dan jumlah tersebut dijangka meningkat.
“Harapan kami agar kerjasama strategik antara JKM dan pihak korporat seperti JKSB ini dapat diteruskan dan diperkukuh pada masa hadapan.
“Semoga lebih banyak pihak tampil bersama-sama menyumbang demi kesejahteraan rakyat yang memerlukan,” katanya lagi.