37 pengusaha makanan & minuman sokong Kempen Tiada Penyedut Minuman (Plastik) Percuma

BUKIT TENGAH – Pengurusan sisa buangan makanan kini mampu dijadikan sumber tenaga yang diperbaharui melalui teknologi biogas, ujar Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Menurut Boon Poh, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kini sedang meneliti teknologi biogas berkaitan untuk dijadikan sebagai salah satu cabang kitar semula di kawasan pentadbirannya.

Walaupun sebelum ini sisa makanan dianggap sebagai bahan buangan biasa, namun sebenarnya ia mampu menjana tenaga yang boleh diperbaharui dan digunakan semula.

MPSP sedang melihat ke arah ini (biogas)… dan apabila pelaksanaannya kelak, Majlis dijangka mampu meningkatkan kadar kitar seperti disasarkan iaitu 70 peratus.

Makanan juga sebenarnya boleh dikira dalam kelompok kitar semula, kira-kira 41 peratus sampah di Pulau Burung adalah sisa organik, maka jika kita (rakyat) mampu kurangkan kepada 60 peratus adalah lebih bagus,” ujar beliau pada sidang media sejurus melancarkan Kempen Tiada Penyedut Minuman (Plastik) Percuma dekat Auto City, Juru pagi ini.

Hadir sama, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud, Ahli-ahli MajlisMPSP serta wakil-wakil pengusaha makanan yang mengambil bahagian.

Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu ketika berucap turut menuntut penglibatan dan sokongan masyarakat umum terhadap kempen-kempen yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

Tanpa penyertaan masyarakat, segala kempen yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri akan menjadi sia-sia,” serunya.

Pada majlis tersebut, sebanyak 37 premis makanan dan minuman di Auto City bersetuju untuk menyokong kempen berkenaan dan melayakkan mereka menerima sijil penghargaan berlogokan Climate & Clean Air Coalition (CCAC) sebagai tanda terima kasih.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: LAW SUUN TING