49 rakan strategik MBSP terima penghargaan

dsc 5680

SEBERANG JAYA – Sebanyak 49 rakan strategik Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) menerima penghargaan dan pengiktirafan kerana menjayakan pelbagai inisiatif dan program di bawah platform Local Action 21 (LA21) bagi tahun 2025.

Plak penghargaan disampaikan oleh Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid dalam majlis yang diadakan dekat Menara Bandaraya MBSP dekat sini pada 18 Disember 2025.

Ketika berucap, Baderul Amin memberitahu benyampaian plak penghargaan tersebut merupakan simbol pengiktirafan atas sumbangan, komitmen dan kerjasama berterusan yang telah diberikan dalam menjayakan program-program LA21.

“MBSP dengan penuh rasa bangga dan penghargaan meraikan seramai 49 penerima anugerah penghargaan, yang terdiri daripada lima agensi kerajaan, tiga badan berkaitan kerajaan (GLC), 32 syarikat swasta, lapan pertubuhan bukan kerajaan serta satu persatuan penduduk.

“Sumbangan rakan-rakan strategik ini merangkumi pelbagai inisiatif, antaranya program pemakanan sihat, pendidikan hijau, latihan pertanian bandar, pengurusan sisa dan kitar semula, transformasi sungai, pemuliharaan alam sekitar, serta penglibatan aktif komuniti dan sekolah.

“Kesemua usaha ini telah memberi impak positif yang signifikan kepada masyarakat dan alam sekitar di Seberang Perai,” katanya.

Baderul Amin Abdul Hamid.

Baderul Amin berkata LA21 merupakan antara tunjang utama dalam memperkukuh penglibatan komuniti dan kerjasama pelbagai pihak dalam pembangunan mampan bandar raya Seberang Perai.

Menurutnya, MBSP melalui Jawatankuasa Induk Local Action 21 telah melaksanakan pelbagai aktiviti dan program bersama sekolah, syarikat swasta, badan bukan kerajaan serta komuniti setempat.

“Jawatankuasa Induk LA21 MBSP ini digerakkan melalui empat jawatankuasa utama, iaitu Jawatankuasa Kitar Semula dan Upcycle, Jawatankuasa Kecemerlangan Wanita, Jawatankuasa Haiwan Kesayangan serta
Jawatankuasa Mesra Alam.

“Pendekatan ini membolehkan pelaksanaan program yang lebih menyeluruh, bersasar dan dekat dengan keperluan masyarakat,” katanya.

Baderul Amin berkata, selaras dengan semangat kolaborasi, pelbagai program telah dirangka berteraskan konsep 7P’s, iaitu People, Public, Private, Philanthropy, Philosopher, Planet dan Partnership.

Jelasnya, pendekatan tersebut membuka ruang penglibatan menyeluruh khususnya kepada penduduk Seberang Perai, di samping menggalakkan pemilikan bersama terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar dan kesejahteraan komuniti.

“MBSP amat percaya bahawa kejayaan pembangunan bandar mampan tidak boleh dicapai secara bersendirian, sebaliknya emerlukan kerjasama erat antara Pihak Berkuasa Tempatan, agensi kerajaan, sektor swasta, NGO dan komuniti.

“Melalui kerjasama strategik ini, MBSP dapat memaksimumkan hasil, memastikan pulangan yang berkesan bagi setiap perbelanjaan serta meningkatkan tahap penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

“Kerjasama ini juga menyokong usaha merealisasikan konsep pengguna bijak, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya SDG 12 berkaitan Responsible Consumption and Production serta SDG 13 berkaitan Climate Action,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MBSP