GEORGE TOWN – Tarikh 5 Disember setiap tahun wajar dijadikan sebagai sambutan “Hari Kebaya Malaysia” bagi mengiktiraf warisan budaya tidak ketara dunia itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng berkata cadangan tersebut adalah selaras dengan pengiktirafan kebaya sebagai Warisan Budaya tidak ketara UNESCO pada 5 Disember 2024.
“Pengiktirafan ini menamakan kebaya sebagai pakaian tradisi yang indah dan simbol identiti, kehalusan seni dan tradisi yang hidup di serantau Asia Tenggara.
“Sejajar dengan pengiktirafan dunia ini, adalah wajar bagi Malaysia dan Pulau Pinang khasnya, secara rasmi menetapkan 5 Disember setiap tahun sebagai “Hari Kebaya Malaysia”,” ketika membahaskan Belanjawan Tahun 2026 Negeri Pulau Pinang sempena Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat sini sebentar tadi.
Yee Harng berkata, Hari Kebaya Malaysia bukan sahaja akan memperingati penyenaraian kebaya sebagai warisan tak ketara, tetapi juga menjadi peringatan bermakna tentang peranan Pulau Pinang dalam memelihara, memperbaharui, dan meraikan budaya Peranakan.
“Melalui usaha dan inisiatif ini kita dapat menjaga peranan Pulau Pinang sebagai pusat warisan budaya tidak ketara Kebaya Nyonya selain menggalakkan pemindahan kemahiran kraf dari generasi ke generasi, termasuk sulaman, manik, dan jahitan.
“Selain itu, langkah ini juga akan menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan budaya melalui festival, pameran, dan bengkel bertemakan kebaya, sekali gus menyokong artisan tempatan, pereka fesyen, dan perniagaan kecil dalam industri budaya yang lestari.
“Malah, inisiatif ini juga dapat meningkatkan rasa bangga di kalangan belia terhadap warisan pelbagai budaya Pulau Pinang, di samping mempromosikan kefahaman tentang simbolisme kebaya sebagai warisan inklusif yang menyatukan komuniti berlainan,” ulasnya.
Mengulas lanjut, beliau menyatakan bahawa melalui inisiatif penghargaan Kerajaan Negeri terhadap kebaya, Pulau Pinang diyakini akan terus menjadi penanda aras warisan budaya tidak ketara dunia yang menggabungkan tradisi dan inovasi.
“Cadangan ketetapan Hari Kebaya Malaysia bukan sekadar sambutan kebudayaan, malah tanda penghargaan kerajaan ke atas warisan budaya tidak ketara dunia melalui pemeliharaan, kebanggaan, dan kemajuan.
“Ini juga merupakan satu penghargaan kepada artisan yang memelihara tradisi ini, meraikan identiti warisan unik Pulau Pinang, dan menyumbang kepada usaha global dalam memelihara warisan budaya tidak ketara selaras dengan matlamat pembangunan manpan (SDG),” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN & LAW SUUN TING