50 Tahun KRT berjasa, TKM 1 seru rakyat berbilang kaum perkukuh lagi perpaduan komuniti

img 0613 MOHAMAD Abdul Hamid (empat dari kiri) diiringi Lee Khai Loon (tiga dari kiri) dan beberapa pemimpin negeri lain menyampaikan Notis Kelulusan Skim Ronda Sukarela (SRS) kepada wakil KRT Taman Brown Timur Laut sempena Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga 2025 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Hotel Vangohh Eminent, Bukit Mertajam di sini pada 11 September 2025.

MACHANG BUBOK – Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Rukun Tetangga (KRT) peringkat negeri Pulau Pinang Tahun 2025 disambut meriah dalam majlis jamuan dan penghargaan di sini sebentar tadi.

img 0610
MOHAMAD Abdul Hamid menyampaikan ucapan dalam majlis berkaitan pada petang tadi.

Semasa merasmikan majlis sambutan itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menyeru sekalian pemegang taruh supaya mengimbau kembali sejarah penubuhan KRT pada tahun 1975 sebagai suatu insiatif Kerajaan Persekutuan demi memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Pada ketika itu, negara baru sahaja melalui detik hitam peristiwa 13 Mei 1969, justeru, KRT ditubuhkan sebagai wadah penyatuan masyarakat berbilang kaum pada peringkat akar umbi.

“Sejak lima dekad lalu, KRT telah memainkan peranan yang amat penting kepada negeri Pulau Pinang khasnya dan negara secara amnya,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Agama, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Perpaduan Masyarakat.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung turut berharap semua 526 KRT yang telah wujud di negeri ini dapat melibatkan semua lapisan masyarakat bermula dari golongan belia, wanita, warga emas sehingga Orang Kurang Upaya (OKU) supaya semua suara didengari dan dirasai dengan lebih berkesan.

Difahamkan, sehingga kini terdapat 8,586 KRT ditubuhkan di seluruh negara dengan keanggotaan jawatankuasa hampir seramai 215,000 orang, dengan liputan penduduk seramai hampir 12.8 juta orang.

Melihat kepentingan KRT dalam memperkukuh agenda perpaduan rakyat berbilang kaum, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang, Rohai Zahar Nedi memanjangkan arahan daripada Kementerian Perpaduan Negara supaya semua KRT turut melibatkan Exco atau sekurang-kurangnya pegawai perpaduan daerah dalam setiap program yang dianjurkan pada peringkat komuniti masing-masing.

Turut berucap, wakil KRT negeri Pulau Pinang, Mohd. Famy Abd. Rajab.

ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon antara pemimpin negeri yang turut hadir pada majlis sambutan Jubli Emas 50 Tahun penubuhan KRT di sini.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB