534 CCTV di bahagian pulau hujung 2016

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Selaras dengan usaha merealisasikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat, sebanyak 534 kamera litar tertutup (CCTV) di bahagian pulau Pulau Pinang menjelang hujung tahun ini dengan peruntukan berjumlah RM38.3 juta.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini dalam proses pemasangan 216 CCTV tambahan yang dijangka siap pada Ogos ini.

“Setakat ini, MBPP mempunyai 286 buah CCTV yang kini beroperasi di bahagian pulau.

“Dengan penambahan 216 CCTV yang dirancang ini, ia akan menjadikan jumlah keseluruhan CCTV yang bakal beroperasi menjelang hujung tahun ini adalah sebanyak 534 buah.

“Jumlah ini, termasuk 32 buah CCTV yang dipasang oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak Jun tahun lalu (2015),” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke Bilik Kawalan CCTV MBPP yang baru bersama pihak media di Tingkat 4, Komtar di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Setiausaha Bandaraya, Ir. Ang Aing Thye, Ir. A. Rajendran (Timbalan Pengarah Kejuruteraan MBPP) dan Ahli-ahli Majlis MBPP.

Tambah Kon Yeow, bagi menampung pertambahan bilangan CCTV saban tahun, sebuah bilik kawalan CCTV baharu dengan keluasan 9.329 kaki persegi telah dinaiktaraf dan dijangka mampu menampung sebarang pertambahan dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

“Bagi mewujudkan kesejahteraan bandar, Pulau Pinang memerlukan di antara 10,000 hingga 20,000 CCTV.

“Namun, ini memerlukan perancangan teratur jangka masa panjang,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu, selain melakukan pemantauan, CCTV juga membolehkan pihak Majlis melakukan pemeriksaan lampu jalan, aktiviti pembuangan sampah haram dan aktiviti kerja tanah tanpa kelulusan di kawasan berbukit.

“Ia (CCTV) turut dilengkapkan dengan pembesar suara yang mana pengumuman kecemasan boleh dibuat dari pusat kawalan termasuk bagi menasihati pemandu agar mengalihkan kenderaan masingmasing yang menganggu atau menghalang lalulintas.

“Selain itu, bagi membolehkan orang awam melaporkan sesuatu kejadian di tapak serta memerlukan tindakan segera oleh pihak polis, Majlis turut mewujudkan Interactive Kiosk di empat lokasi utama iaitu hadapan Pasaraya Gama, berdekatan Plaza Gurney, Upper Penang Road dan Persimpangan Jalan Penang/ Lebuh Chulia,” katanya.

Untuk tempoh Januari hingga Mac 2016, sebanyak 4, 242 kesalahan lalulintas telah direkodkan melalui pemantauan CCTV. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 58 kesalahan telah diambil tindakan tunda dan kunci roda.

} else {