ADUN Seri Delima bebas tuduhan menghasut

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer yang melafazkan satu kenyataan terhadap UMNO pada musim kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Bukit Gelugor tiga tahun lalu dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen di sini baru-baru ini.

Hakim Roslan Hamid membuat ketetapan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan ada kes prima facie ke atas tertuduh, pada akhir perbicaraan 29 April.

Roslan dalam penghakiman bertulis berkata, lafaz tertuduh tidak membuktikan kecenderungan untuk menghasut.

“UMNO bukanlah satu kaum, tetapi merupakan sebuah pertubuhan parti politik (dan) dengan ini mahkamah memutuskan pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan kes prima facie dalam kes di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948,” kata hakim.

Roslan turut melepaskan dan membebaskan Rayer daripada pertuduhan pilihan yang dihadapinya di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana pihak pendakwaan turut gagal buktikan elemen menghasut yang dibuat oleh tertuduh.

Pada 27 Ogos 2014, Rayer yang juga peguam mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut pada ceramahnya di taman permainan kanak-kanak dekat Jalan Delima Island Glades, Jelutong sekitar jam 10 malam, 22 Mei 2014.

Rayer didakwa menurut Seksyen 4(1) (b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, jika sabit bersalah.

Tertuduh turut didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu mengaibkan serta membangkitkan kemarahan anggota UMNO susulan melafazkan kata-kata menghasut itu, yang boleh mengakibatkan perpecahan ketenteraman awam, di tempat dan masa serta tarikh yang sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pasukan pembelaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Lim Cheah Yit, manakala sekumpulan peguam bela kepada Rayer diketuai oleh Gobind Singh Deo, yang juga Ahli Parlimen Puchong.