GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap Liga Muslim Pulau Pinang yang berusia 72 tahun akan terus berbakti kepada komuniti India Muslim lokal serta menjadi jambatan perpaduan kepada masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian seusai merasmikan majlis berbuka puasa anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkenaan di perkarangan luar Masjid Kapitan Keling di sini pada 24 Februari 2026.
“Liga Muslim Pulau Pinang telah memainkan peranan yang penting dalam menyatupadukan komuniti, membantu lokaliti serta memperkasakan komuniti India Muslim.
“Maka, saya berharap NGO ini dapat menjadi satu tauladan yang baik kepada pertubuhan-pertubuhan lain bagi menyatupadukan rakyat serta memupuk semangat persefahaman dan toleransi (dalam kalangan masyarakat majmuk di negeri ini),” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi pada majlis berkaitan.

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan turut memuji usaha Liga Muslim Pulau Pinang membuka pusat khidmat bagi menerima aduan serta saranan komuniti lokal untuk dipanjangkan kepada Kerajaan Negeri serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Di samping itu, beliau turut memuji usaha NGO berkenaan mengumpul dana untuk penganjuran program bantuan kebajikan kepada golongan asnaf serta asatizah terpilih.
Berucap pada majlis berkaitan sebelum itu, Timbalan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Dr. Shahul Hamid Syed Mohamed memberitahu bahawa pertubuhan berkenaan akan terus komited menjadi ‘jambatan muhibah’ antara Kerajaan Negeri dan masyarakat majmuk setempat.
Tambah beliau, pada tahun ini, Liga Muslim Pulau Pinang menyediakan sejumlah peruntukan khusus untuk memperkasa program bantuan asnaf serta program kebajikan yang melibatkan para ustaz dan ustazah (asatizah) lokal.
ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Dato’ Seri Haja Najmudeen Kader turut sertai majlis tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT