GEORGE TOWN – Sebanyak 76 premis industri di kawasan Kepala Batas telah berdaftar dalam Sistem Elektronik Kawalan Alam Sekitar (eKAS) dan tertakluk kepada peruntukan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (AKAS 1974).
Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata, sistem eKAS hanya merekodkan premis atau kilang yang mempunyai lesen dan tidak merangkumi kilang yang beroperasi tanpa lesen.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal, Bukhori Ghazali, mengenai senarai kilang haram yang berdaftar dalam sistem berkenaan, selain tindakan penguatkuasaan dan langkah pencegahan bagi menangani kewujudan kilang tanpa kebenaran.
Menurut beliau, Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan premis industri mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan.
“Bagi premis yang melanggar syarat atau beroperasi tanpa kebenaran, JAS akan menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk mengeluarkan notis arahan, mengenakan kompaun atau membawa kes ke mahkamah.
“Selain itu, JAS turut melaksanakan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) menerusi rondaan harian, pemeriksaan berkala serta operasi bersepadu bersama agensi lain bagi menangani pencemaran udara dan risiko kebakaran,” katanya.
Mengulas lanjut, Sundarajoo memaklumkan bahawa pemeriksaan berkala terhadap premis perindustrian dan kawasan yang berpotensi menjalankan aktiviti perkilangan tanpa lesen akan dipertingkat bagi membolehkan sebarang pelanggaran dikesan lebih awal.
“Kerjasama strategik dan penguatkuasaan bersepadu antara JAS, pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Tanah dan Galian serta agensi teknikal berkaitan juga akan diperkukuh.
“Proses semakan dan kelulusan permohonan lesen turut diperketat dengan memastikan lokasi serta aktiviti perkilangan mematuhi syarat guna tanah, perancangan, pelesenan dan keperluan alam sekitar, selain memperoleh kelulusan jabatan teknikal berkaitan.
“Pada masa sama, tindakan tegas termasuk arahan menghentikan operasi dan pendakwaan di mahkamah akan diambil terhadap pemilik serta pengusaha yang menjalankan aktiviti perkilangan tanpa lesen mengikut peruntukan undang-undang dan bidang kuasa agensi berkaitan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa setiap aduan awam berhubung aktiviti perkilangan yang disyaki menyalahi undang-undang akan disiasat dan tindakan sewajarnya diambil.
Oleh: NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar: SITI NURATIKAH RAHMAT