80 penduduk Sg. Nibong Pantai dapat pampasan

Admin

 

SIM Tze Tzin (enam dari kanan) mengadakan perbincangan bersama wakil pemaju selepas melawat tapak projek di perkampungan Sungai Nibong Pantai di sini baru-baru ini
SIM Tze Tzin (enam dari kanan) mengadakan perbincangan bersama wakil
pemaju selepas melawat tapak projek di perkampungan Sungai Nibong
Pantai di sini baru-baru ini

 

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

SUNGAI NIBONGSeramai 80 penduduk kampung Sungai Nibong Pantai mampu menarik nafas lega apabila perbincangan pampasan dengan JKP Sdn. Bhd. selaku pemaju telah menemui jalan penyelesaian di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin berkata, proses pampasan telah berjaya diselesaikan apabila setiap penduduk bersetuju untuk menerima tawaran ganti rugi dikemukakan pihak pemaju.

“Saya gembira apabila perkara ini selesai akhirnya setelah ia berlanjutan sejak tahun 2007. Para penduduk terlibat telah bersetuju untuk menerima pampasan sebuah rumah setiap seorang.

“Rumah kedua juga turut ditawarkan kepada penduduk kampung dengan separuh harga iaitu RM42,000. Diharap projek ini akan berjalan lancar seperti dicadangkan,” ujarnya ketika melawat tapak projek bersama wakil pemaju di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti, Idris Osman dan Jurutera Kanan JKP Sdn. Bhd., Hafiz Zaki.

Tze Tzin berkata, kawasan perkampungan terbabit bakal dimajukan menerusi projek pembangunan yang merangkumi dua fasa keseluruhannya.

“Fasa satu melibatkan sebuah blok 15 tingkat rumah pangsa kos rendah berserta lima unit rumah kedai. Manakala, bagi fasa dua, sebanyak 170 unit pangsapuri kos sederhana dan 33 unit rumah teres dua tingkat bakal dibangunkan di kawasan seluas 9.3 hektar.

Tambah beliau, pindaan keluasan rumah pangsa kos rendah yang turut dipersetujui oleh pemaju telah memberikan reaksi positif kepada penduduk kampung.

“Pelan asal rumah pampasan tersebut hanya berkeluasan 650 kaki persegi. Namun, selepas mendengar rayuan penduduk, keluasannya telah dibesarkan kepada 750 kaki persegi.

“Ini memberikan perkhabaran gembira buat mereka,” ujarnya kepada Buletin Mutiara.