90 peratus setuju tukang masak warganegara – MPSP

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Sebanyak 90 peratus daripada 890 responden bersetuju warganegara diambil bekerja sebagai tukang masak di gerai penjaja serta kompleks makanan dekat sekitar Seberang Jaya.

Pengarah Pelesenan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohd. Ibrahim Md. Noor memberitahu, kaji selidik itu dijalankan dalam tempoh 25 Julai hingga 25 Ogos lepas.

“Keputusan ini, MPSP akan sampaikan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng,” katanya dalam satu sidang media bersama-sama Yang di-Pertua MPSP, Datuk Maimunah Mohd. Sharif di sini baru-baru ini. Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud serta tiga Ahli Majlis lain, Tan Cheong Eng, Rezal Huzairi Md. Zaki dan Ahmad Kaswan Kassim turut hadir pada sidang media itu.

Maimunah memberitahu, MPSP hanya melaksanakan bancian berwajib, manakala, syor menguatkuasa larangan buruh asing digajikan sebagai tukang masak utama gerai penjaja serta kompleks makanan adalah bergantung pada keputusan Kerajaan Negeri kelak.

Terdahulu, Maimunah mengakui bahawa isu buruh asing menjadi tukang masak di gerai-gerai penjaja serta kompleks makanan turut memberi impak negatif kepada MPSP belakangan ini.

Sebelum ini, Guan Eng dalam satu kenyataan media meminta MPSP dan MPPP menjalankan bancian dan kaji selidik berhubung perkara berbangkit tersebut.

Syor Guan Eng itu sebagai reaksi pada satu laporan penguatkuasaan MPPP yang menyebut lebih 119 buruh asing diambil bekerja sebagai tukang masak utama di 68 pusat penjaja makanan di negeri ini membabitkan kawasan sekitar Bayan Baru, Relau, Jelutong dan Tanjung Tokong.