SETIAP kali tibanya musim durian, Pulau Mutiara tidak pernah sunyi daripada kunjungan pencinta buah eksotik dari seluruh negara.
Tahun ini, musim durian dijangka berpanjangan sehingga awal Januari tahun hadapan walaupun hasil buah tidak sebanyak seperti sebelumnya.
Musim ketiga tahun ini membawa cabaran tersendiri buat usahawan durian, JOHAN ABU BAKAR, yang aktif menjual pelbagai varieti raja buah termasuk Udang Merah (Ang Hae); Musang King (Raja Kunyit); Hor Lor; Kumpo; Capri serta beberapa jenis tempatan lain.
Menurut Johan, hasil tuaian pada musim kali ini agak berkurangan berbanding musim pertama.
“Sekarang, di Pahang hasilnya sudah hampir habis, manakala di Johor pula tinggal sedikit.
“Di sini (Pulau Pinang), buah dijangka mula luruh dalam tempoh dua minggu lagi.
“Durian dari kebun di Teluk Bahang dan Pulau Betong juga sudah mula luruh, serta musim dijangka berterusan sehingga bulan Januari tahun depan,” katanya ketika ditemui dalam sesi tinjauan bersama wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL dan jurugambar, SITI NURATIKAH RAHMAT.

Tambah Johan lagi, faktor cuaca turut memberi kesan kepada hasil buah kali ini kerana kebanyakan pokok di kebunnya berusia antara 30 hingga lebih 50 tahun.
“Oleh itu, bagi memastikan hasil yang lebih baik pada musim akan datang, saya menggunakan baja khas untuk menggalakkan pembungaan serta meningkatkan kualiti buah durian yang dihasilkan,” jelasnya.
Walaupun bekalan agak terhad, Johan bersyukur kerana permintaan pelanggan tetap tinggi.
“Walaupun buah tidak banyak, saya masih aktif memasarkan durian melalui media sosial termasuk TikTok, WhatsApp dan pelbagai platform lain bagi menarik pelanggan lama dan baharu.
“Sekarang ramai pelanggan datang terus ke tempat kami untuk membeli.
“Jadi, saya buat promosi kecil-kecilan saja di media sosial, cukup untuk menarik perhatian pelanggan sekitar,” katanya.
Tambahnya lagi, walaupun hasil tidak sebanyak dahulu, permintaan yang tinggi membuktikan durian tempatan masih menjadi pilihan utama peminat buah eksotik itu.
“Menariknya, selain Black Thorn dan Musang King, musim kali ini turut memperkenalkan beberapa jenis durian baharu seperti D700 dan ‘Mozarella’ yang menambah keunikan rasa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Johan meluahkan rasa syukur atas rezeki yang diperoleh sepanjang musim pertama tahun ini dan berharap musim ketiga juga membawa hasil yang baik walaupun bekalan agak berkurangan.
“Musim ketiga tahun ini tetap istimewa kerana ramai pelanggan tetap yang sudah lama menantikan buah pertama turun dari pokok.
“Belum mula berniaga lagi, sudah ramai yang menelefon bertanya ‘buah dah ada ka?’.
“Seronok rasanya bila pelanggan masih ingat dan setia menunggu setiap kali musim tiba.
“Yang penting, kita terus berusaha dan jaga kualiti buah, insyaAllah rezeki tak pernah salah alamat,” tambahnya.
