GEORGE TOWN – Inisiatif Action for Jantungku anjuran Hospital Adventist Pulau Pinang bakal meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penjagaan dan pencegahan penyakit jantung pada 27 September ini di Gurney Plaza.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata bahawa kesedaran awam penting susulan penyakit jantung iskemik menjadi punca utama kematian di Pulau Pinang pada 2024, iaitu 12.4 peratus daripada keseluruhan kematian.
“Situasi ini menunjukkan pendekatan terhadap kesihatan jantung tidak boleh hanya bermula apabila seseorang tiba di hospital dalam keadaan kecemasan, sebaliknya perlu memberi tumpuan kepada pencegahan, pengesanan awal, gaya hidup sihat serta keupayaan masyarakat bertindak ketika kecemasan berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi sidang media sempena Hari Jantung Sedunia 2026 yang dianjurkan bersama Hospital Adventist Pulau Pinang, pada 11 September 2026.
Hadir sama, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Adventist Pulau Pinang, Albin Phua; Pakar Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman hospital berkenaan, Dr. Aaron Ong Hean Jin dan Dr. Jeremy Quah Wy Jin; Pengurus Komunikasi Pemasaran Gurney Plaza, CapitaLand Malaysia Trust, Reney Khor serta Pengurus Akaun Viatris Malaysia, Jesline Teoh.
Menurut Zi Sen, Kerajaan Negeri terus memperkukuh kesiapsiagaan komuniti menerusi Program Penang Safe Heart yang dimulakan pada 2015, dengan kira-kira 1,000 unit peranti defibrilator luaran automatik (AED) telah dipasang di sekitar 600 lokasi awam di seluruh negeri.
“Langkah seterusnya dilaksanakan menerusi Program Future Heroes bantuan pernafasan kecemasan (CPR) dan AED yang diperluaskan kepada kesemua 129 sekolah menengah di Pulau Pinang, dengan sasaran untuk melengkapkan para pelajar di seluruh negeri dengan kemahiran menyelamatkan nyawa ini menjelang 2028.
“Tahun lalu, seramai 2,292 pelajar daripada 27 sekolah menengah menyertai salah satu latihan CPR dan AED terbesar di Pulau Pinang, sekali gus mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Zi Sen berkata kemahiran CPR dan penggunaan AED perlu dijadikan sebahagian daripada budaya masyarakat kerana individu pertama yang memberikan bantuan ketika berlakunya serangan jantung lazimnya bukan terdiri daripada doktor atau jururawat.
“Orang pertama yang boleh membantu mungkin ahli keluarga, rakan sekerja, guru atau pelajar. Sebab itu, memberikan keyakinan dan kemahiran kepada orang awam untuk bertindak boleh membawa perubahan besar dalam menyelamatkan nyawa,” ujar beliau.
Dalam perkembangan sama, Zi Sen turut menyatakan bahawa aspek pencegahan perlu diberi perhatian, khususnya dalam kalangan generasi muda menerusi gaya hidup aktif, pemakanan sihat dan pemeriksaan kesihatan berkala.
“Sebagai Exco yang bertanggungjawab terhadap belia, sukan dan kesihatan, saya melihat bidang ini mempunyai kaitan rapat kerana apabila kita menggalakkan masyarakat untuk lebih aktif dan bersukan, kita bukan sekadar mempromosikan rekreasi, tetapi turut melabur dalam kesihatan jangka panjang mereka,” tambahnya.
Sementara itu, Zi Sen turut memuji inisiatif Action for Jantungku oleh Hospital Adventist Pulau Pinang yang membawa maklumat berkaitan kesihatan jantung keluar daripada persekitaran hospital untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai tahap kesihatan dan faktor risiko masing-masing.
Menurut beliau, komitmen hospital berkenaan turut diteruskan menerusi peruntukan hampir RM500,000 daripada dana kebajikan bagi menyediakan pembedahan pintasan arteri koronari (CABG) atau pembedahan jantung terbuka secara percuma kepada 10 pesakit kurang berkemampuan dari Hospital Pulau Pinang.
“Inisiatif ini amat bermakna kerana dapat membantu pesakit mendapatkan rawatan jantung yang diperlukan, di samping mengurangkan sebahagian beban yang ditanggung oleh keluarga mereka.
“Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk menyertai Action for Jantungku pada 27 September di Gurney Plaza, selain menjadikan ilmu dan kesedaran yang diperoleh sebagai amalan dalam kehidupan seharian.
“Ketahui bacaan kesihatan anda, kekal aktif, buat pilihan lebih sihat, pelajari CPR dan ketahui lokasi AED terdekat. Jangan tunggu sehingga berlaku kecemasan perubatan untuk mula memberi keutamaan kepada kesihatan jantung,” serunya.
Teks & Gambar: NUR ASHIKIN ISMAIL