PULAU BETONG – Sambutan menggalakkan dalam menjayakan penganjuran Jalan Santai Pulau Betong daripada warga Daerah Barat Daya khususnya Balik Pulau membuktikan bahawa program berasaskan komuniti mampu menghimpunkan masyarakat dalam suasana sihat, ceria dan penuh muhibah.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa penglibatan masyarakat dalam aktiviti seperti jalan santai turut mencerminkan semangat kebersamaan dalam menjayakan agenda pembangunan negeri menerusi Visi Penang2030.

“Saya amat kagum melihat kehadiran luar biasa peserta Jalan Santai Pulau Betong walaupun dalam keadaan hujan ini.
“Semangat yang ditunjukkan oleh warga Daerah Barat Daya (DBD), khasnya Balik Pulau, jelas membuktikan bahawa tiada jurang yang memisahkan kita apabila menyentuh soal kesihatan, perpaduan dan masa depan negeri,” ujarnya ketika merasmikan program Jalan Santai Pulau Betong sempena Siri Jelajah Festival Penang2030 DBD di Sekolah Kebangsaan (SK) Tan Sri Awang Had Salleh di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Pegawai Daerah Barat Daya, Dato’ Rosli Halim; Pegawai Penyelaras Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Betong, Dato’ Mohd. Tuah Ismail; Pegawai Pendidikan Daerah Barat Daya, Dr. Mohd. Sirol Abdul Lathif dan Guru Besar SK Tan Sri Awang Had Salleh, Noor Hafiza Mohd. Johari.
Bersempena penganjuran tersebut, para peserta segak berpakaian tradisional, yang mana Kon Yeow turut menyempurnakan pelepasan peserta sebentar tadi.
Menurut Kon Yeow, penganjuran Festival Penang2030 di peringkat daerah merupakan manifestasi kepada usaha Kerajaan Negeri memastikan pembangunan yang seimbang serta penglibatan masyarakat di seluruh pelosok Pulau Pinang.

“Kewujudan Pusat Info Penang2030 di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN), termasuk di Pulau Betong, turut menjadi platform untuk memastikan suara, kebajikan dan penyertaan masyarakat setempat terus diberi perhatian.
“Program pagi ini juga adalah manifestasi sebenar visi tersebut, yang mana sebuah komuniti mampu menggerakkan sebuah festival daerah bertaraf negeri,” jelasnya merangkap Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.
Dalam pada itu, Kon Yeow menyatakan bahawa DBD mempunyai keunikan tersendiri menerusi keindahan alam semula jadi, warisan budaya dan hubungan kekeluargaan yang erat dalam kalangan masyarakat setempat.
“Di sebalik kepesatan teknologi digital, Barat Daya kekal menjadi benteng yang mempertahankan keindahan warisan budaya, keaslian alam semula jadi dan keakraban institusi kekeluargaan, iInilah jiwa sebenar Pulau Pinang.
“Kerajaan Negeri terus komited memastikan DBD tidak tercicir daripada arus kemajuan, termasuk dalam aspek ekonomi hijau, pelancongan berasaskan komuniti serta pembangunan infrastruktur yang inklusif.
“Saya berharap Festival Penang2030 dapat menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif tempatan yang menggalakkan ekonomi kreatif, pemeliharaan alam sekitar serta penglibatan aktif masyarakat.
“Kepada para peserta Jalan Santai, nikmatilah keindahan laluan Pulau Betong dan jadikanlah hari ini sebagai pemula kepada komuniti yang lebih cergas, pintar dan bersatu padu,” ulasnya lanjut.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT