GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang mencadangkan agar Kerajaan Negeri mempertimbang pewartaan Rumah Suluk Sheikh Omar Basheer di Kampung Melayu sebagai sebuah bangunan warisan.
Beliau menjelaskan bahawa bangunan tersebut mempunyai nilai sejarah tersendiri berkaitan ketokohan Sheikh Omar Basheer serta perkembangan pendidikan agama Islam yang telah bertapak lebih 200 tahun di Pulau Pinang.
“Pewartaan ini bakal menjadikan Rumah Suluk tersebut sebagai yang pertama di Malaysia diiktiraf sebagai bangunan warisan.
“Namun, pewartaan tanpa sokongan kewangan bagi tujuan pemuliharaan dan dokumentasi sejarah tidak akan memberi kesan yang signifikan.
“Air Itam merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan atas peruntukan RM100,000 yang disalurkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada tahun ini bagi kerja-kerja pemuliharaan yang dijadualkan bermula tahun depan.
“Namun jumlah itu masih kecil untuk melaksanakan konservasi secara menyeluruh.
“Justeru, saya memohon agar Kerajaan Negeri memperuntukkan sekurang-kurangnya setengah juta ringgit dalam Belanjawan 2026 bagi melengkapkan usaha memartabatkan warisan, sejarah dan kebudayaan masyarakat Melayu di Kampung Warisan Melayu Air Itam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan Tahun 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 di sini pada 17 November 2025.
Sebelum itu, Soon Siang memaklumkan bahawa beliau meneliti catatan Hansard Dewan tahun 1990 serta melihat kepada kesinambungan nilai sejarah Makam Sheikh Omar Basheer dan kekayaan warisan pendidikan agama Islam di Rumah Suluk Kampung Melayu dalam kawasan Air Itam.
Tambahnya, dapatan itu menguatkan cadangan bahawa Kampung Melayu Air Itam amat sesuai dipertimbangkan sebagai kampung warisan bagi mengangkat sejarah dan budaya masyarakat Melayu di Pulau Pinang.
“Maka satu lawatan tapak telah diadakan bersama Jabatan Warisan, dan perbincangan turut diadakan di lapangan berkaitan pemuliharaan makam, rumah suluk serta kawasan sekitarnya,” katanya lagi.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: LAW SUUN TING