ADUN Bagan Jermal, Petronas anjur program CSR tukar lampu belakang motosikal awam

BAGAN JERMAL – Petronas Wilayah Utara Semenanjung Malaysia menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membekalkan 1,000 unit lampu belakang motosikal untuk tukar ganti baharu kepada para penunggang yang mengunjungi stesen minyak tersebut dekat Jalan Raja Uda pagi tadi.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal yang merasmikan program tersebut.

“Melalui kempen tukar ganti lampu belakang ini, diharap akan memberi lebih kesedaran kepada penunggang motosikal agar selalu memastikan lampu motosikal anda semua senantiasa berfungsi.

“Kalau lampu belakang motosikal ‘terbakar’, cepat tukar supaya anda boleh dilihat oleh kenderaan lain,” jelasnya pada penganjuran berkaitan pada 25 November 2018.

Pengurus Cawangan Stesen Minyak Petronas Jalan Raja Uda, Azri Firdaus menyatakan bahawa sebenarnya Petronas sejak beberapa tahun lepas melaksanakan pelbagai program CSR demi meningkatkan kesedaran mengenai peri penting gaya hidup selamat dalam kalangan pengguna jalan raya.

Tambahnya, Petronas turut melaksanakan program CSR seumpama berkaitan dengan kerjasama langsung bersama-sama pihak polis, pihak berkuasa tempatan (PBT), wakil rakyat hatta melibatkan pentadbir sekolah.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : FB ADUN