ADUN Bayan Lepas gesa segera tangani isu kesesakan trafik Bukit Belah – Puspakom

Admin

GEORGE TOWN – Isu kesesakan trafik dekat Bukit Belah sehingga ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) di Jalan Teluk Kumbar memerlukan penyelesaian jangka pendek pada kadar segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, pihaknya telah mengemukakan beberapa laporan kepada pihak berwajib bagi menggesa mencari solusi segera namun masih belum menerima sebarang kelulusan daripada pihak berkaitan.

“Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelum ini pada 2018 pernah menyatakan bahawa dalam tempoh lima (5) tahun akan datang jalan di Bukit Belah sehingga ke Puspakom tidak lagi mampu menampung jumlah penggunaan trafik.

“Kesannya, belum cecah lagi tahun 2023 keadaan yang diperhatikan kini amat teruk dan saya berasa simpati dengan pengguna yang menjadikan jalan tersebut sebagai laluan utama untuk pergi dan pulang kerja,” ujarnya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14, semalam.

Dalam sesi yang sama, Azrul Mahathir turut mencadangkan beberapa jalan penyelesaian yang boleh diambil oleh pihak Kerajaan Negeri serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada masa hadapan.

“Antaranya, mewujudkan laluan terus dari Balik Pulau tanpa henti di lampu isyarat atau membina jejambat.

“Atau mewujudkan laluan sehala bagi persimpangan Jalan Teluk Kumbar ke Gertak Sanggul atau juga boleh melebarkan persimpangan dan jalan tersebut,” jelasnya sambil menyifatkan cadangannya mungkin menelan kos yang tinggi namun hanya itu jalan terbaik.

Beliau dalam pada itu turut berharap permasalahan ini tidak hanya bergantung terhadap peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sahaja, sebaliknya pihak Kerajaan Negeri juga perlu mencari alternatif lain demi keselesaan pengguna jalan raya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR & DARWINA MOHD. DAUD