ADUN Berapit syor lanjut waktu operasi KK Perda, kurangkan sesak di Hospital Bukit Mertajam

Admin
a6f2de96 71d8 4a3c a7e0 2271ffe12db2

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri disyorkan untuk berbincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melanjutkan tempoh operasi Klinik Kesihatan (KK) Perda demi mengurangkan lambakan pesakit tidak kritikal di Zon Hijau, Jabatan Kecemasan dan Trauma (JKT), Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee berkata, kebanyakan rakyat yang mendapatkan rawatan di hospital awam berkenaan selepas waktu pejabat (atau selepas pukul 5.00 petang) adalah pesakit bukan kritikal.

Selain Zon Hijau, terdapat Zon Kuning untuk pesakit separa kritikal dan Zon Merah untuk pesakit kritikal di JKT, HBM.

“Kita sedang berdepan satu paradoks dalam sistem kesihatan awam.

“Jabatan Kecemasan dan Trauma dekat hospital kerajaan semakin sesak, tetapi lebih 80 peratus pesakit sebenarnya adalah pesakit di Zon Hijau yang mana stabil dan lebih sesuai dirawat di klinik kesihatan.

“Keadaan ini menyebabkan masa menunggu menjadi panjang, kos meningkat dan JKT kurang memberi fokus kepada kes kritikal.

“Saya mencadangkan Kerajaan Negeri berbincang dengan KKM untuk melanjutkan waktu operasi Klinik Kesihatan Bandar Perda, kerana ia bangunan baharu dan kemudahan moden yang belum digunakan sepenuhnya,” jelasnya sambil memberitahu bahawa lokasi KK Perda adalah strategik kerana berhampiran HBM.

Di samping itu, beliau berharap proses pindah milik tanah berkaitan di hadapan HBM dapat disegerakan supaya KKM dapat mempercepat pelaksanaan projek pembinaan fasiliti tambahan bagi hospital awam tersebut.

“Pelaburan kerajaan mestilah dimaksimumkan dan secara berterusan memberi manfaat kepada rakyat,” jelasnya semasa membahaskan Belanjawan 2026 dalam Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 18 November 2025.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN