ADUN gesa audit keselamatan menyeluruh Jalan Berapit

Admin
img 20260512 wa0055

GEORGE TOWN – Isu keselamatan jalan raya di Jalan Berapit perlu diberi perhatian serius melalui pelaksanaan audit keselamatan jalan secara menyeluruh susulan beberapa kejadian kemalangan yang berulang di kawasan berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee berkata bahawa isu tersebut bukan baharu kerana telah lama dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk oleh wakil rakyat terdahulu.

“Insiden terbaharu melibatkan seorang penduduk tempatan yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Berapit menunjukkan keperluan segera penambahbaikan aspek keselamatan di kawasan tersebut.

“Berdasarkan laporan, lokasi kemalangan tersebut merupakan antara kawasan berisiko di Jalan Berapit yang telah beberapa kali mencatatkan insiden serius termasuk kemalangan maut,” katanya ketika membahaskan Ucapan Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) sempena Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 12 Mei 2026.

Mengulas lanjut, Lee Lee turut menegaskan bahawa masalah di Jalan Berapit tidak boleh dilihat hanya dari sudut sikap pemandu atau penguatkuasaan semata-mata, sebaliknya turut melibatkan faktor reka bentuk jalan dan perubahan aliran trafik semasa.

“Corak aliran trafik telah berubah dengan ketara termasuk peningkatan kelajuan kenderaan di beberapa laluan utama.

“Namun begitu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan serta Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mematuhi garis panduan teknikal sedia ada, langkah tersebut masih belum mencukupi untuk menangani isu keselamatan secara menyeluruh.

“Sehubungan itu, saya ingin menggesa agar pihak JKR, pihak berkuasa tempatan (PBT), PDRM dan agensi teknikal berkaitan melaksanakan semakan semula reka bentuk keselamatan Jalan Berapit secara komprehensif.

“Justeru, pendekatan penambahbaikan perlu dirangka secara jangka pendek, sederhana dan panjang bagi memastikan tahap keselamatan pengguna jalan raya dapat dipertingkatkan,” tambahnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SIEW CHIA EN