SUNGAI DUA – Kerajaan Negeri dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pulau Pinang terus memperkukuh inisiatif menangani kos sara hidup menerusi penganjuran Program Jualan Sejahtera Pulau Pinang di lokasi-lokasi terpilih.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, menerusi program itu, pengguna berpeluang mendapatkan pelbagai barangan keperluan pada harga kira-kira 20 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.

“Ini merupakan satu kolaborasi antara Kerajaan Negeri dengan FAMA Pulau Pinang, disokong oleh peniaga-peniaga setempat untuk menganjurkan Program Jualan Sejahtera di lokasi-lokasi yang dipilih.
“Kita menjamin pembekalan barangan dengan harga sekitar 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran hasil sokongan Kerajaan Negeri, manakala FAMA bertanggungjawab mengurus dan melaksanakan program ini.
“Program ini akan menjelajah ke beberapa lokasi bagi membawa jualan terus kepada rakyat, sekali gus menyantuni mereka dengan bekalan yang mencukupi serta harga yang lebih rendah daripada pasaran.
“Saya harap inisiatif ini memberi manfaat kepada semua pihak, termasuk peniaga tempatan yang turut dijemput menyertai program ini,” ujarnya sejurus melancarkan Jualan Sejahtera Pulau Pinang @ Sungai Dua dekat Masjid Al-Amin, Seberang Perai Utara (SPU) di sini sebentar tadi.
Pada jualan di Masjid Al-Amin, pengguna berpeluang mendapatkan pakej kombo berupa beras cap feri, minyak masak dan seekor ayam pada harga RM20 berbanding harga pasaran RM33.
Turut berlangsung, jualan produk-produk usahawan kecil berupa makanan, minuman dan lain-lain lagi.
Hadir sama, Pengarah FAMA Pulau Pinang, Mohd. Hafiz Nurulhuda; Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri, Mohd. Balkish Othman; Pengarah Komunikasi Unit Penerangan Kerajaan Negeri merangkap Setiausaha Akhbar Kepada Ketua Menteri, Yap Lee Ying dan Pegawai Penerangan Unit Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainul.
Tambah Kon Yeow, selain meringankan beban kos sara hidup, program tersebut turut mewujudkan peluang kepada usahawan dan peniaga tempatan memasarkan produk mereka secara lebih meluas.

Mohd. Hafiz dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih kepada Kon Yeow kerana menyediakan bajet khas dalam menjayakan program tersebut.
“Terima kasih saya ucapkan kepada Ketua Menteri, untuk makluman semua, ini adalah hasil kerjasama dan komitmen daripada Y.A.B. Ketua Menteri kita sendiri, yang menyediakan bajet khusus untuk Jualan Sejahtera Pulau Pinang ini.
“InsyaAllah, selepas ini nantikan lagi di lain-lain venue kita akan buat jelajah lagi,” ujarnya.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : SIEW CHIA EN