SERI DELIMA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng, berharap pihak polis dapat memberikan kelonggaran kepada penduduk Krystal Heights berhubung saman parkir yang dikenakan baru-baru ini.

Menurutnya, sebahagian besar penduduk kawasan tersebut terdiri daripada isi rumah B40 dan tindakan saman akan menjadi beban kewangan kepada mereka.
“Krystal Heights mempunyai 932 unit kediaman tetapi hanya 464 petak parkir.
“Kekurangan ini menyebabkan ramai penduduk tiada pilihan selain meletakkan kenderaan di luar kawasan kediaman sejak sekian lama.
“Pada 24 November, kira-kira 40 kenderaan telah dikenakan saman oleh pihak polis dalam satu operasi.
“Penduduk meluahkan rasa terkejut dan hadir ke pejabat saya untuk membuat aduan, sambil menjelaskan bahawa parkir di sepanjang Lintang Delima 14 telah lama diberi kelonggaran,” ujarnya dalam satu sidang media di Pusat Khidmat DUN Seri Delima di sini pagi tadi.
Tambah Hooi Peng, beliau juga telah menghantar surat rayuan kepada pihak polis dengan harapan agar pembatalan saman-saman tersebut dapat dipertimbangkan.
Selain itu, beliau memaklumkan pihaknya sedang bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi mencari penyelesaian jangka panjang, termasuk cadangan menukar kawasan hijau berhampiran sebagai tempat letak kereta bagi mengurangkan kesesakan.
“Kami berharap penyelesaian ini dapat merungkai masalah parkir di kawasan kejiranan ini dan mencapai kata sepakat,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING