ADUN iktiraf pelajar cemerlang UPSR

Gambar : FACEBOOK ADUN

PANTAI JEREJAK – Seramai enam pelajar cemerlang terpilih dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Jerejak masing – masing menerima Sijil Pengiktirafan Kecemerlangan, wang tunai dan cenderahati sumbangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon.

Semua pelajar berkenaan berjaya memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014.

Mohd. Rashid ketika ditemui berkata, sumbangan itu diadakan selaras dengan tanggungjawab sosial korporat (CSR) institusi perbankan, Public Bank (Cawangan Bayan Baru) dan syarikat Petroliam Nasional Berhad (Petronas, stesyen Bayan Baru) terhadap masyarakat setempat.

“Ini adalah program julung kali diadakan dengan kerjasama Public Bank dan Petronas serta JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) Kampung Jawa dan Pejabat ADUN Pantai Jerejak.

“Saya berharap lebih ramai lagi, terutama syarikat korporat dan perbankan tampil untuk memberi sumbangan sebegini terutama bagi program-program melibatkan masyarakat setempat.

“Saya percaya melalui jalinan CSR syarikat-syarikat korporat terlibat dan JKKK setempat, masyarakat akan lebih terbela di samping dapat mengiktiraf mereka yang layak menerima pengiktirafan,” katanya sejurus selepas penyampaian sumbangan pada Program Penghargaan Pelajar Cemerlang UPSR 2014 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Public Bank (Cawangan Bayan Baru), Cheok Kar Gee dan Pengurus Stesen Petronas Bayan Baru, Farah Ani.

Pelajar yang menerima sumbangan ialah Nurul Syakirah Husna Shamsul, Muhammad Haziq Muhamed Farukh, Muhammad Hasif Nou Bal, Muhammad Zarif Hakimi, Intan Zulaikha Abu Kasim dan S. R. Dharrshine yang kesemuanya kini melanjutkan pengajian di Tingkatan 1.

Semua mereka bertekad untuk terus menggapai kecemerlangan dalam pelajaran pada masa akan datang.