ADUN mohon Ai Komuniti One Stop Center, lengkapkan prasarana

Admin
c8a1a539 97ea 46a5 907f fe7a385a177a

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan untuk mewujudkan Ai One Stop Center di Air Itam.

Menurutnya, Air Itam kini serba lengkap melainkan satu lagi prasarana awam yang diperlukan iaitu sebuah Ai Komuniti One Stop Center.

“Pusat komuniti setempat ini harus dilengkapi dewan serbaguna, perpustakaan, ruang kegiatan pendidikan, pusat kegiatan sukan yang mempunyai gelanggang bola keranjang, sepak takraw, bola tampar, ping pong dan badminton.

“One Stop Center ini akan melengkapkan kawasan penempatan di Air Itam dan kehidupan penduduk di sini akan lebih sihat.

“Maka di dalam Dewan ini, Air Itam mencadangkan pembangunan  sebuah Ai Komuniti One Stop Center di KADUN Air Itam dengan mengguna pakai bangunan yang telah dikosongkan oleh sebuah pasaraya yang terletak di simpang Jalan Thean Teik dan Jalan Kampung Pisang milikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Bangunan sedia ada di tapak yang dicadangkan cukup luas dan terdapat ruang kosong yang masih boleh dimanfaatkan untuk pusat kegiatan yang lain,” ujarnya pada perbahasan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga DUN Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.

Tambahnya, walaupun dewan-dewan sekolah di kawasan Air Itam tersedia dan membenarkan kegunaan orang awam, namun bilangannya terhad dan orang ramai yang ingin mengadakan majlis terutamanya pada musim cuti persekolahan terpaksa mengadakan majlis mereka di luar kawasan Air Itam.

Dalam perkembangan lain, Soon Siang meminta semakan semula kepada  kamera litar tertutup (CCTV) yang telah dipasang di seluruh negeri.

“Pastikan kesemua 1,525 CCTV di seluruh negeri benar-benar berfungsi dengan baik, perkara berhubung CCTV adalah penting kerana kejadian kecemasan, jenayah, kemalangan dan sebarang perkara yang tidak diingini dapat dikesan dan dikenal pasti melalui CCTV.

“Akan tetapi, Air Itam ingin mengangkat kepada pengetahuan dewan ini bahawa satu kemalangan maut yang berlaku di kawasan Pasar Air Itam.

“Ketika pihak ADUN dan pihak polis bersama ahli keluarga mangsa meminta MBPP untuk mendapatkan rakaman kemalangan tersebut untuk mencari orang yang bertanggungjawab, malangnya CCTV di simpang Jalan Pasar tidak berfungsi dan bukti kejadian kemalangan gagal diperolehi,” tegasnya.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR