ADUN salur RM177,000 naik taraf masjid, surau & wisma yatim sekitar Datuk Keramat

Admin

DATUK KERAMAT – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM177,000 bagi menaik taraf beberapa buah masjid dan surau di sini termasuk Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang dekat Jalan Scotland.

Jagdeep yang juga Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa berkata, peruntukan disalurkan itu membuktikan bahawa tiada pihak dipinggirkan termasuk dalam pemberian bantuan penarafan.

JAGDEEP Singh Deo (berdiri, tengah) menyantuni penduduk yang hadir pada majlis berkaitan tadi.

“Bantuan disalurkan kepada semua pihak tanpa diskriminasi termasuklah rumah ibadat umat Islam.

“Hari ini, suka saya umumkan bahawa saya telah memperuntukkan sejumlah RM177,000 bagi menaik taraf lima buah masjid, sebuah surau dan wisma yatim,” katanya pada sidang media ketika menghadiri Majlis Jamuan Berbuka Puasa di pekarangan Masjid Acheh Kebun Lama, tadi.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, antara masjid yang menerima peruntukan tersebut adalah Masjid Acheh Kebun Lama, Masjid Wan Chik Ariffin, Masjid Rawana, Masjid Hashim Yahya dan Masjid Kampung Makam. 
JAGDEEP Singh Deo menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf di sini.
 
Selain itu, Surau Taman Free School dan Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang masing-masing turut menerima peruntukan bagi kerja-kerja penarafan yang merangkumi pendawaian semula, naik taraf sistem pembesar suara, bumbung, ruang wuduk dan membekalkan penyaman udara. 

Dalam majlis sama, Jagdeep turut berkesempatan menyampaikan sumbangan zakat kepada asnaf setempat yang turut diraikan dalam majlis berkaitan.

Difahamkan, beliau juga menyalurkan sejumlah RM25,065 bagi mengimarahkan majlis iftar di sekitar Datuk Keramat sepanjang bulan Ramadan.

Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer turut memperuntukkan RM22,765 bagi tujuan sama. 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI