ADUN Seberang Jaya agih bantuan tilam kepada mangsa banjir

SEBERANG JAYA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga Seberang Jaya terutama mereka yang mengambil bahagian dalam pergerakan sukarelawan Pulau Pinang Bangkit hasil inisiatif Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebelum mengagihkan bantuan berupa tilam kepada mereka yang ditimpa bencana dalam kejadian banjir 4 November lalu.

“Sememangnya, bencana ribut dan hujan terlalu lebat selama 15 jam adalah di luar dugaan kita, kerana ini ujian daripada Allah, tapi kita (Kerajaan Negeri) akan terus menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.

“Di DUN (Dewan Undangan Negeri) Seberang Jaya sahaja, kita jangkakan lebih 2,000 rumah terlibat (dalam bencana banjir).

“(Selain bantuan tilam ini), RM700 ‘one-off’ merupakan bantuan daripada Kerajaan Negeri, bantuan terbesar yang diberikan oleh Kerajaan Negeri di Malaysia untuk mangsa bencana banjir,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Afif turut merakamkan penghargaan kepada anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) serta agensi-agensi Kerajaan yang saling bertungkus-lumus memindahkan mangsa-mangsa banjir serta mengagihkan bekalan makanan berwajib sepanjang tempoh bencana.

Tambah beliau, walaupun Kerajaan Negeri sendiri meluncurkan program ‘Pulau Pinang Bangkit’ untuk memulihkan keadaan rakyat di negeri, namun Kerajaan Negeri masih mengharapkan pemberian RM1 bilion peruntukan projek-projek rancangan tebatan banjir (RTB), seperti yang telahpun dijanjikan oleh Kerajaan Pusat sebelum ini.