ADUN sumbang RM13,000 sebagai sokongan terhadap usaha persatuan tempatan

Admin
sumbangan

AIR PUTIH – Sejumlah RM13,000 dan 20 unit meja diserahkan kepada beberapa persatuan tempatan di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih dekat sini pagi ini.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng berkata, sumbangan tunai dan kelengkapan itu adalah sebagai tanda sokongan serta penghargaan terhadap usaha dan peranan yang dijalankan oleh persatuan-persatuan tempatan di sini.

 

“Hari ini, Persatuan Penganut Tokong Natuk Kong Air Putih menerima sumbangan tertinggi iaitu RM6,000 yang mana merangkumi RM3,000 secara tunai dan 20 unit meja bernilai RM150 setiap satu.

 

“Manakala, Pertubuhan Budidaya Cemerlang Pulau Pinang menerima sumbangan sebanyak RM1,000 dan Kuil Arulmigu Sri Ruthra Veeramuthu Mahamariamman Devasthanam (RM5,000).

 

“Sejumlah RM1,000 turut diberikan kepada Goon Institution Sdn. Bhd. untuk membantu seorang pelajar, T. Suvamination melanjutkan pelajaran,” katanya kepada pemberita selepas penyerahan ringkas sumbangan di Pusat Khidmat KADUN Air Putih dekat sini.

 

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Penganut Tokong Natuk Kong Air Putih, Teoh Hak Ee; Pengerusi Pertubuhan Budidaya Cemerlang Pulau Pinang, Khoo Boo Chye dan Pengerusi Kuil Arulmigu Sri Ruthra Veeramuthu Mahamariamman Devasthanam, M.Krishnamurti.

 

whatsapp image 2025 04 10 at 15.42.16
LIM Guan Eng (dua dari kiri) menyerahkan 20 unit meja kepada penerima di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh persatuan-persatuan tempatan dalam membantu masyarakat sekali gus meningkatkan kesejahteraan setempat.

 

Dalam perkembangan berasingan, Guan Eng turut menyuarakan kebimbangan terhadap impak ekonomi susulan tarif yang dikenakan oleh Presiden Amerika Syarikat ke atas Malaysia.

 

“Selepas pengumuman tarif itu, ramai peniaga kecil telah menghubungi saya untuk menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kesan dasar tersebut terhadap perniagaan mereka.

 

“Saya bimbang kerana pada tahun ini sebelum tarif ini dilaksanakan sudah banyak perniagaan agak ‘sunyi’ dan selepas tarif ini dijangka ia akan jadi lebih ‘sunyi’,” katanya.

 

Oleh : M. DANESWARAN
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD