ADUN syor bangunan kerajaan, agensi kerajaan sedia parkir khas ibu hamil

Admin

GEORGE TOWN – Semua bangunan kerajaan dan agensi kerajaan di negeri wajar menyediakan parkir khas untuk ibu mengandung.

 

Cadangan tersebut disuarakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2021 hari ini.

 

“PBT di bahagian pulau dan seberang juga seharusnya adakan parkir khas kepada ibu hamil terutamanya di kawasan komersil, hospital dan klinik kesihatan untuk menyenangkan mereka yang menjalankan pemerikasaan prenatal.

 

“Saya mencadangkan PBT (pihak berkuasa tempatan) dapat mengeluarkan kad ibu hamil dengan bukti dokumen dari doktor.

 

“Tanda kehamilan awal tidak jelas, berat badan tidak naik malahan lebih kurus lagi disebabkan morning sickness dan ketidak stabilan kehamilan.

 

“Inisiatif kemudahan parkir ibu hamil adalah bertujuan memberikan kemudahan dan keselesaan kepada semua golongan ibu yang mengandung tidak kira tempoh masa kehamilan,” jelas beliau pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-14 Hari Ketiga pagi ini.

 

Tambahnya, melalui penyediaan tersebut, adalah satu kehormatan kepada golongan wanita yang juga menggalas tanggungjawab sebagai seorang ibu.

 

Pada perbahasan sama, Lee Lee turut membangkitkan masalah bilik laktasi di pejabat-pejabat kerajaan, keselamatan komuniti di stesen minyak, menambahbaik prasarana sukan dan rekreasi dan peningkatan produktiviti hasil penternak dan nelayan.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD