GEORGE TOWN – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) akan memperhebat lagi sistem sokongan berkaitan kesihatan mental bagi menangani insiden ‘terjun’ di Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah, walaupun kedua-dua jambatan tersebut bukan di bawah tanggungjawab Pihak Berkuasa Negeri.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata demikian ketika diminta mengulas insiden terbaharu iaitu kes seorang pemuda yang dipercayai terjatuh di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang, semalam.
“Kedua-dua jambatan itu (iaitu Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah) bukan di bawah tanggungjawab negeri.
“ Sekiranya kita memasang penghadang di kedua-dua jambatan (seperti dicadangkan pelbagai pihak), kita juga perlu memasang penghadang di semua bangunan tinggi, jika kita tidak mengambil serius isu kesihatan mental.
“(Justeru,) saya berpendapat lebih banyak kerja-kerja promosi dan advokasi perlu ditingkatkan dalam masyarakat mengenai peri penting kesihatan mental,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang dalam sidang media bersama Ketua Menteri, Tuan Chow Kon Yeow di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada 18 November 2025.
Terdahulu, Zi Sen mengiringi Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi menyempurna acara gimik pelancaran aplikasi bersepadu Sistem Online: Penang Information and Complaints System (ePINTAS) – State Environmental Health Action Plan (SEHAP) Negeri Pulau Pinang, di sini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Zulkifli Long; Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Fazilah Shaik Alaudin dan Pengarah Pengairan dan Saliran Negeri Pulau Pinang, Lt. Kol. Bersekutu (PA) Ooi Soon Lee.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN