SUNGAI ACHEH – Menerusi Program Hijauan Lestari, Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang secara berperingkat mengagihkan 10,000 anak pokok kelapa serta 5,000 anak pokok durian varieti Durian King dan Duri Hitam kepada anggota Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri ini.

Pegawai Penerangan Bahagian Penerangan Kerajaan Negeri, Zahar Zainul berkata bahawa program sokongan itu dilaksanakan demi meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat terutama di kawasan luar bandar.
“Kalau bantuan benih sawi, berapa sangat pulangan; jadi kalau boleh benih atau anak pokok yang boleh membawa pulangan hasil yang lebih tinggi.
“Jadi, idea untuk mengagihkan anak pokok kelapa dan anak pokok durian dilaksanakan supaya para penerima bantuan dapat lebih hasil kelak,” jelasnya dalam majlis berkaitan di pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Acheh di sini pada 7 Ogos 2025.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memang berhasrat untuk meningkatkan tahap kehijauan negeri, dengan pelaksanaan projek penanaman sejuta pokok sebelum ini.
“Sejak tahun 2008, sebanyak 350,000 pokok ditanam di negeri ini…sehingga era YAB Tuan Chow Kon Yeow menjadi Ketua Menteri sekarang ini, kempen menanam pelbagai pokok tidak pernah berhenti.
“Selari dengan kempen menanam pokok ini, kita mencadangkan kempen penanaman pokok yang boleh mendapatkan pulangan hasil setimpal kepada rakyat terutama mereka yang tinggal di luar bandar,” jelasnya lagi.

Mewakili Ketua Menteri, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol hadir menyempurnakan majlis perasmian Program Hijau Lestari serta acara pengagihan anak pokok kelapa dan durian kepada anggota PPK lokal.
Semasa berucap, Rashidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh berkata, rakyat khususnya Bumiputera wajar terus mempertahan kepentingan koridor pertanian desa di kawasan masing-masing dengan tidak menjual tanah untuk tujuan pembangunan industri dan kilang.
Ini kerana menurutnya, bank tanah untuk aktiviti perindustrian utama masa depan telahpun disediakan khusus di kawasan berhampiran iaitu Batu Kawan Industrial Park (B.K.I.P) dekat Batu Kawan.
“Pembangunan (khusus untuk perindustrian utama negeri) lambat-laun akan sampai ke Jawi (dalam kawasan Parlimen Nibong Tebal, (justeru,) anak-anak dan generasi kita perlu bersedia kerana peluang pekerjaan banyak.
“Pada masa yang sama pertahankan tanah pertanian kita (di KADUN Sungai Acheh) ini… kalau nak bercakap soal mempertahan kepentingan sosioekonomi, jangan jual tanah (pertanian) kita kepada orang lain (sampai menjejas koridor pertanian negeri di KADUN Sungai Acheh),” katanya lagi.
Turut berucap, Pengerusi PPK Sungai Acheh, Fadzil Ahmad.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD