Agih RM10.1 juta PTSR demi bantu niaga usahawan P. Pinang

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri sehingga kini mengeluarkan peruntukan sejumlah RM10.1 juta melalui program pinjaman mikro kredit yang dikenali sebagai Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) demi membantu usahawan di Pulau Pinang mengembangkan potensi perniagaan masing-masing.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata demikian pada Majlis Penyampaian RM175,000 Bantuan Pinjaman PTSR Kepada 37 Usahawan di sini baru-baru ini.

Selain keperluan modal tambahan, Mohd. Rashid memberitahu bahawa usahawan berjaya adalah mereka yang inovasi serta bijak membaca pasaran semasa dalam persekitaran ekonomi yang kian mencabar belakangan ini.

“Apabila mempunyai perniagaan yang sama, para peniaga mungkin dapat bertukartukar pendapat dan belajar antara satu sama lain berkenaan pemasaran, pusingan modal serta teknik-teknik lain dalam bidang berkaitan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak pada majlis berkaitan.

Difahamkan, seramai 2,297 peminjam berdaftar sejak PTSR diperkenalkan pada tahun 2009 hingga 17 Jun lalu.

Pada tahun 2010, Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menguruskan secara langsung urusan berkaitan PTSR, dengan tempoh bayaran balik ditetapkan oleh agensi Kerajaan Negeri itu.

Berdasarkan rekod PDC, Mohd. Rashid memuji 54.4 peratus golongan wanita yang berjaya memperoleh pinjaman PTSR, sehingga kini.} else {