Ahli Majlis cadang MBPP serap kakitangan kontrak berpengalaman ke perjawatan tetap

GEORGE TOWN – Kakitangan bertaraf kontrak yang telah berkhidmat sehingga belasan tahun dalam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) wajar dipertimbang untuk diserap ke perjawatan tetap.

Ahli Majlis MBPP, Mohamed Yusoff Mohamed Noor berkata demikian semasa berucap dalam Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) di Dewan Bandaraya di sini pada 11 Januari 2021.

“Namun, usul (kakitangan kontrak yang telah berkhidmat belasan tahun serta berpengalaman diserap ke perjawatan tetap) ini haruslah diperincikan dalam MBM kelak,” jelasnya yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Pulau Pinang.

Sebagai wakil Amanah dalam MBPP, beliau berkata pihaknya terpanggil untuk mencadangkan dasar-dasar progresif bagi menjana sokongan rakyat teramai terhadap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Kerajaan Negeri hari ini.

“Pada saya, jawatan (Ahli Majlis) ini seperti amalan sebelum ini yang mana memberi khidmat sebagai penggubal dasar bagi MBPP, dan juga pemudah cara bagi pihak kerajaan tempatan.

“Saya ingin memastikan MBPP adalah PBT yang terbaik dalam Malaysia,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan atas tadbir urus cekap PBT berkenaan di bawah Datuk Bandar, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Addnan Mohd Razali.

Di samping itu, Mohamed Yusoff turut menzahirkan harapan kepada kakitangan kerajaan di semua peringkat jabatan dalaman MBPP supaya memberi sokongan yang tidak berbelah-bahagi pada acara-acara yang dianjurkan oleh Ahli Majlis.

“Kerjasama ini adalah perlu daripada semua jabatan tanpa sikap ‘double standard’ demi kelancaran satu-satu majlis (yang dianjurkan oleh mana-mana Ahli Majlis MBPP),” jelasnya.

Beliau yang ditemui selepas selesai MBM memberitahu pemberita bahawa Amanah yakin dasar menyerap kakitangan kontrak yang berpengalaman ke perjawatan tetap, akan menjana serta mengukuhkan lagi sokongan rakyat teramai pada Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini.

Sebelum pada itu, Tung Seang mengumumkan senarai nama Pengerusi Gantian yang baharu bagi MBPP.

Mereka, Abdul Latif Mohamad sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan; Wong Yuee Harng (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Kewangan); Tan Seng Keat (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Lalu Lintas); Theng Jie Wey (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam) dan Mohd. Suhairi Arumugam Abdullah (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : CHAN KOK KUAN