ISU penjaja tanpa lesen bukanlah satu isu baharu bukan sahaja di Pulau Pinang, bahkan di negeri-negeri lain juga.
Oleh itu, pendekatan kreatif oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan kerjasama para penjaja sendiri penting dalam memastikan situasi ‘menang-menang’ dapat diwujudkan.
Atas isu terbabit, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, SITI NURATIKAH RAHMAT bertemu Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), MUHAMMAD KHAIRUL MOHD. ALI untuk mendapatkan penjelasan lanjut.

Baru-baru ini, dimaklumkan bahawa Muhammad Khairul berjaya menjalankan pemutihan kepada tujuh penjaja tanpa lesen, manakala dua lagi masih dalam proses penempatan yang menjadikan keseluruhan sembilan penjaja beroperasi berhampiran Sungai Ara.
“Apabila beroperasi tanpa lesen, anggota kita (MBPP) turun dan beri kompaun tetapi sampai bila nak beri kompaun? Tambahan pula sekiranya mereka menjaja di tepi jalan, maka akan melibatkan isu keselamatan.
“Pada waktu petang khasnya, akan berlaku kesesakan trafik di kawasan itu yang berpunca daripada masalah parkir.
“Tambahan pula, berlaku juga isu pembuangan sampai di merata-rata tempat serta sikap peniaga yang suka meninggalkan gerai di tepi jalan sehingga mewujudkan kacau ganggu.
“Susulan itu, saya mengumpul maklumat daripada anggota perlesenan MBPP untuk mengetahui kawasan mana yang ada tanah pihak Majlis yang boleh dijadikan sebagai tapak penjaja.

“Kami berjaya mengenal pasti dua tempat iaitu satu di Lot 936 (Persiaran Relau) dan satu lagi di Lintang Sungai Ara (Sky Cube),” ujar Muhammad Khairul ketika ditemui di Komtar di sini hari ini.
Antara penjaja kecil yang dibenarkan menjaja dekat Lintang Sungai Ara berhampiran Sky Cube termasuklah peniaga kuetiau, mi lambak, nasi lemak, burger, air dan lain-lain lagi yang ditempatkan di lokasi yang lebih teratur.
Untuk melesenkan penjaja pula, Muhammad Khairul memberitahu bahawa proses itu lebih mudah berbanding membayar kompaun bulanan yang boleh mencecah RM500 bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.

“Prosesnya senang, cuma di pihak MBPP kita perlukan penglibatan yang berterusan dengan penjaja, walaupun ada juga peniaga yang masih berdegil.
“Sebagai pemudah cara, kita akan panggil mereka untuk sesi temuduga, sebelum melesenkan para peniaga melalui fasiliti yang kita sediakan termasuk bekalan air dan elektrik dengan sewa berpatutan RM400 sebulan.
“Untuk sementara waktu, aktiviti perniagaan pada waktu malam masih tidak dapat dijalankan di Lintang Sungai Ara belum kerana bekalan elektrik masih dalam proses pemasangan,” ulasnya lagi.
Muhammad Khairul berkata, cabaran yang dihadapi kini adalah apabila terdapat sesetengah penjaja yang enggan berniaga di tapak yang disediakan oleh pihan Majlis kerana bimbangkan aktiviti perniagaan mereka terjejas berbanding di lokasi lama.
“Kita faham tentang perkara itu, namun pada masa sama peniaga juga perlu kreatif membangunkan tapak yang disediakan di samping menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan peniagaan.
“Jadi, pelanggan-pelanggan sebelum ini akan tahu lokasi baharu, contohnya tindakan peniaga mi lambak yang selalu menyiarkan aktiviti perniagaan secara langsung di Tik Tok sehingga mendapat ribuan tontonan dalam satu-satu masa.
“Difahamkan, pelanggan yang datang adalah dari merata-rata tempat termasuk Balik Pulau,” maklum beliau lagi.
Muhammad Khairul turut memaklumkan bahawa masih terdapat kekosongan di tapak penjaja yang disediakan oleh MBPP iaitu di belakang Puspakom, Jalan Rajawali, Seri Bayu, Lavendar, Lengkok Kelicap dan Pagar Buluh.
“MBPP turut mengadakan perbincangan dengan pejabat daerah (Barat Daya) untuk mencari tapak yang bersesuaian bagi melesenkan para peniaga tanpa lesen.
“Antara kepentingan lesen ini adalah perlindungan, sekiranya berlaku apa-apa bencana, maka kepentingan penjaja lebih terpelihara,” katanya lagi.
Justeru, beliau amat berharap agar penjaja tanpa lesen tampil bagi membolehkan MBPP membantu mereka melalui proses pemutihan.