Ahli Sidang Muda dijemput rasai situasi sebenar perjalanan sidang DUN

Admin

GEORGE TOWN – Seramai lapan peserta Sidang Muda dijemput hadir sendiri ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini sebagai persediaan untuk Sidang Muda yang bakal berlangsung pada 4 Jun ini.

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata kunjungan itu adalah bertujuan untuk memberi pendedahan kepada ahli-ahli Sidang Muda mengenai situasi sebenar perjalanan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Melalui kunjungan ini, para peserta diberikan pendedahan mengenai cara-cara untuk bertanyakan soalan, menjawab soalan, menyatakan pendapat dan mempelajari kemahiran perbahasan semasa persidangan dewan.

Ketua Menteri menyantuni peserta Sidang Muda yang hadir ke persidangan DUN Pulau Pinang hari ini.

“Justeru, adalah diharapkan agar para peserta dapat mengambil peluang ini untuk mengambil isu-isu yang dibangkitkan semasa persidangan dewan dan membahaskannya semasa Sidang Muda yang akan berlangsung nanti,” katanya ketika berucap pada sesi kunjungan hormat ahli-ahli Sidang Muda 2022 dekat Banguna Dewan Undangan Negeri, di sini pagi tadi.

Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC), Dr. Gwee Sai Ling dan Timbalan Pengurus Besar PYDC, Eng Hui Ting.

Dalam pada itu, Lip Chee berharap para peserta dapat menggunakan Sidang Muda kali ini untuk membawa suara anak muda dengan membangkitkan pelbagai isu berkaitan golongan belia.

“Mungkin mereka boleh minta kebenaran daripada Speaker Dewan membangkitkan usul tergempar berkaitan isu bunuh diri yang banyak melibatkan golongan belia ketika ini supaya kita dapat mencari jalan untuk mengurangkan kes seperti ini.

“Selain itu, para peserta juga terbuka untuk membincangkan pelbagai isu termasuk masalah ekonomi, masalah kekeluargaan, perhubungan, pendapatan atau pekerjaan dan sebagainya yang dirasakan menjadi penyumbang kepada prilaku bunuh diri,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui PYDC menganjurkan program Sidang Muda sejak tahun 2015 untuk melahirkan barisan pelapis kepimpinan muda yang berwibawa.

“Sidang Muda 2022 akan berlangsung dekat Bangunan Dewan Undangan Negeri Pulau pinang pada 4 Jun ini.

“Seramai 35 orang ahli Sidang Muda yang terdiri daripada Ketua Menteri, barisan Exco, ahli penyokong kerajaan dan pembangkang akan hadir pada persidangan kali untuk berbahas,” katanya sambil menambah bahawa Sidang Muda 2022 akan dipengerusikan sendiri oleh Speaker DUN, Dato’ Law Choo Kiang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS