Aida Lim terajui Penang Halal International

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow hari ini menerima kunjungan hormat daripada Ketua Pegawai Eksekutif Penang Halal International (PHI), Aida Lim Abdullah yang baru dilantik.

 

Perjumpaan selama 30 minit di Pejabat Ketua Menteri itu turut disertai oleh Pengerusi PHI yang juga merupakan Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain.

 

Dalam pertemuan itu antara lain adalah untuk berkongsi perkembangan dan pencapaian terkini PHI termasuk penjenamaan semula Penang International Halal Hub (PIHH) Development Sdn. Bhd. kepada PHI.

 

Turut dibincangkan, hala tuju PHI dalam mengukuhkan lagi kedudukan serta pembangunan industri halal Pulau Pinang ke peringkat antarabangsa.

 

Difahamkan, Aida Lim yang kini menerajui PHI mulai 6 Mei 2020, mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dalam pelbagai bidang dan sektor termasuk firma audit, institusi kewangan, perbankan, pembangunan perniagaan, teknologi digital, peruncitan, pemprosesan makanan, kewangan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan. Malah, beliau turut terlibat dalam hal ehwal pematuhan syariah, halal dan perundangan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI