Aktivis GSF ditahan: Tiada halangan hantar memorandum atau anjur perhimpunan di Pulau Pinang

Admin
bddfd19f 3c22 402b 8284 89970c7cd3c4 KETUA Menteri berucap dalam majlis berkaitan di Machang Bubuk pada 2 Oktober 2025.

MACHANG BUBUK – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan terus mengamalkan sikap terbuka serta tidak menghalang mana-mana pihak untuk menghantar memorandum atau mengadakan perhimpunan aman bagi membantah penahanan peserta Global Sumud Flotilla (GSF) oleh tentera laut Israel hari ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian ketika diminta memberi respons terhadap insiden 201 daripada 497 peserta GSF termasuk 12 rakyat Malaysia yang dipercayai ditahan di atas kapal flotilla semasa menghampiri perairan wilayah bergolak tersebut.

“Di Malaysia, (dapat disaksikan) banyak perhimpunan dijangka akan diadakan juga semata-mata untuk menarik perhatian bahawa (GSF) ini adalah misi kemanusiaan.

“Sememangnya boleh diterima apa juga memorandum daripada NGO (pertubuhan bukan kerajaan) atau parti politik, sebagai suatu keprihatinan rakyat kita terhadap apa yang berlaku di Gaza.

“Setakat ini, kita (Pihak Berkuasa Negeri) belum berbincang perkara ini (penahanan 12 rakyat Malaysia oleh tentera laut Israel), kita (Kerajaan Negeri) memang mengamalkan sikap terbuka (yang mana) kita tidak melarang sesiapa yang ingin menghantar memorandum atau membuat himpunan susulan perkara yang berlaku,” jelasnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi di sini pada 2 Oktober 2025.

22c456a0 4320 44a4 b68f 816529463caa
KETUA Menteri menyantuni sekalian ahli veteran yang menyertai Majllis Jamuan Makan Malam anjuran Kelab Veteran DAP Wilayah Utara di sini tadi.

Sebelum itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan menyampaikan ucapan perasmian Majlis Jamuan Makan Malam Sempena Sambutan Pesta Tanglung yang dianjurkan oleh Kelab Veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP) Wilayah Utara Semenanjung Malaysia.

Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Pulau Pinang memuji komitmen lebih 100 anggota kelab dari negeri Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak yang terus memainkan peranan dalam menghubungkan ahli veteran dengan generasi muda serta baharu dalam parti.

Turut berucap, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri; Dato’ Yeow Soon Hin (Naib Pengerusi DAP Negeri) dan Pengerusi Kelab Veteran DAP Wilayah Utara merangkap Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri, Lay Hock Peng.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS