Aktiviti ekopelancongan jana pendapatan Koperasi Nelayan dan Komuniti Labuh Banting

Admin
whatsapp image 2025 08 12 at 16.56.25

DAERAH Seberang Perai Utara (SPU), khususnya kawasan Tasek Gelugor sememangnya kaya dengan keindahan dan kepelbagaian alam semula jadi sehingga menjadi tumpuan penggemar aktiviti ekopelancongan.

Menyedari manfaat tersebut, Koperasi Nelayan dan Komuniti Labuh Banting Pulau Pinang Berhad mengambil peluang menjana pendapatan dengan memperkenalkan pelbagai program ekopelancongan khusus untuk para pengunjung.

Pengerusinya, MOHD. ANIZAM AHMAD memberitahu bahawa usaha tersebut selaras dengan objektif penubuhan koperasi berkaitan iaitu untuk perkasakan pengurusan sumber dan ekonomi, di samping membantu meningkatkan pendapatan penduduk setempat.

Pelbagai pakej menarik

Beliau berkata, kedudukan Jeti Labuh Banting yang terletak berhampiran Sungai Kulim menjadikan lokasi tersebut amat popular terutamanya untuk aktiviti menangkap ikan, udang galah dan pelancongan sungai.

 

“Setelah mengambil kira faktor ini, kami telah perkenalkan beberapa projek utama yang boleh menjana pendapatan koperasi seperti River Cruise Labuh Banting dan Kampung Trail yang ternyata berjaya menarik kehadiran pelancong ke sini.

img 8226bot

“Kami jadikan produk ini sebagai satu pakej lengkap yang mana pengunjung yang bertandang boleh memilih pengisian aktiviti yang mereka mahukan mengikut kehendak dan kemampuan masing-masing.

“Sebagai contoh, sekiranya pengunjung memilih Pakej Nipah, mereka dapat menikmati pelayaran katamaran dari Jeti Labuh Banting ke Titi Timbul dan Hutan Pelajaran Air Itam Dalam dengan harga RM150 untuk sebuah bot (maksimum 15 orang).

“Menariknya, sepanjang pelayaran selama 1 jam 40 minit itu, pengunjung boleh melakukan aktiviti berkelah di atas bot dengan syarat mereka perlu membawa makanan sendiri selain berpeluang memetik sayur kangkong yang tumbuh segar di dalam sungai ini untuk dibawa pulang,” ujarnya sambil menambah bahawa semua pengemudi bot mempunyai lesen yang sah.

Selain itu, Mohd. Anizam berkata bahawa pihaknya juga menyediakan Pakej Putat dengan bayaran RM41 seorang dengan maksimum seramai 15 orang pada satu-satu masa.

“Pengunjung berpeluang melakukan aktiviti Kampung Trail dengan mengayuh basikal untuk menikmati buah-buahan tempatan, melihat projek penternakan kelulut dan penghasilan dodol secara tradisional (di Dapoq Kayu) yang diusahakan oleh penduduk tempatan.

“Pakej Putat turut menyediakan perkhidmatan pelayaran katamaran pengunjung akan dihidangkan dengan sarapan pagi dan makan tengah hari serta berpeluang merasai kelazatan air kelapa pandan.

“Malah, kami turut menyediakan pakej dengan harga serendah RM18 seorang dikenali sebagai Pakej Berembang yang mana pengunjung berpeluang menikmati pelayaran katamaran dan Kampung Trail untuk melihat projek kelulut dan pembuatan dodol tradisional,” katanya kepada penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS ketika ditemui baru-baru ini.

Difahamkan, pengunjung juga boleh memilih untuk berjalan kaki bagi melakukan aktiviti Kampung Trail.

img 8207
Mohd. Nizam Ahmad.

Bukan itu sahaja, Mohd. Anizam memberitahu bahawa pihak koperasi turut menawarkan Pakej Eksplorasi Desaku Labuh Banting yang menawarkan pelbagai program menarik termasuk Eco Challenge Team Building, pelayaran katamaran dan Kampung Trail dengan harga RM80 seorang.

“Melalui pakej ini, kami menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada para peserta seperti explorace, pertandingan menganyam ketupat, mengacau dodol, memetik sayur kangkung dan banyak lagi.

“Bagi mereka yang berminat dinasihatkan supaya membuat tempatan awal supaya pihak kami dapat menyediakan kemudahan yang diperlukan termasuk sewaan Wakaf Nelayan untuk pengunjung sekiranya mereka mahu menghabiskan masa di sini lebih lama,” katanya.

Impak ekonomi

Mohd. Anizam berkata, pelbagai aktiviti yang diperkenalkan oleh pihak koperasi telah memberi impak positif kepada penduduk setempat.

“Semua aktiviti yang diperkenalkan ini secara tidak langsung telah menjana peluang pekerjaan terutamanya kepada golongan belia tempatan selain membantu menambah nilai kepada hasil nelayan dan produk tempatan.

img 8228img 82381

“Kami juga berjaya memperkasa ekonomi melalui keusahawanan desa yang mana kebanyakan pengunjung yang hadir akan membeli pelbagai produk yang dihasilkan di sini seperti dodol, pekasam, halwa maskat, muruku, makanan sejuk beku dan hasil laut yang lain.

“Selain rasanya yang enak, kebanyakan produk yang diusahakan oleh penduduk setempat juga dihasilkan secara tradisional.

“Contohnya, dodol Dapoq Kayu sehingga kini masih dimasak menggunakan kaedah tradisional sepenuhnya yang mana pengunjung yang datang dapat merasai sendiri pengalaman mengacau dodol,” ujarnya.

Menurut Mohd. Anizam, semua perkhidmatan yang disediakan mampu direalisasi dengan bantuan pelbagai agensi kerajaan terutamanya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui program Desa Lestari yang mana mereka berjaya menerima peruntukan berjumlah RM1 juta yang diserahkan kepada pelbagai agensi pelaksana seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA).

“Peruntukan ini kami telah digunakan untuk membeli dua unit bot baharu berharga RM280,000 dan 20 buah basikal untuk aktiviti Kampung Trail, menaik taraf medan selera, tandas awam dan pelbagai lagi.

2

“Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) juga memperuntukkan RM12,000 yang mana RM10,000 adalah khusus untuk program diskaun bagi perkhidmatan menaiki bot,” jelasnya.

Perancangan masa depan Mohd. Anizam memberitahu bahawa pihaknya berhasrat untuk melengkapkan kemudahan papan informasi digital serta menyediakan ruang parkir yang lebih luas untuk menampung jumlah pengunjung yang semakin meningkat.

“Bagi memudahkan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk menyertai aktiviti Kampung Trail, kami berhasrat untuk menyediakan sebuah traktor dan dua unit tram pelancongan sebagai alternatif perkhidmatan basikal.

“Selain itu, kami juga sedang merancang untuk menyediakan 25 unit ATV (All-Terrain Vehicle), membangunkan kolam pancing udang galah, membina dataran kejat dan medan selera.

“Kami juga akan memohon pensijilan ekopelancongan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi membolehkan Labuh Banting dijadikan pusat team building dan explorace terbesar di Wilayah Utara,” katanya menutup bicara.

Berminat? Hubungi talian 010 – 764 6070 atau layari Facebook Jom Pi Labuh Banting.