GEORGE TOWN – Penganjuran majlis rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri bukan sahaja menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara komuniti setempat, malah ia turut memperkukuh semangat perpaduan serta keharmonian antara kaum dan agama di Pulau Pinang.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang mewakili Ketua Menteri pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.
Menurut Lai Heng, beliau terharu melihat pelbagai persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini berganding bahu ke arah pembangunan baik dari segi ekonomi mahupun sosial.
“Sepanjang tempoh menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri, saya melihat banyak persatuan dan NGO bersama-sama membangunkan Pulau Pinang sama seperti penganjuran majlis pada hari ini.
“Oleh itu, saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah serta terima kasih kepada Kelab Sukan dan Rekreasi Kawan-Kawan atas segala usaha khasnya dalam membangunkan sukan bola sepak negeri.
“Di sini, saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pihak kelab atas penganjuran Kejohanan Bola Sepak 9-Sebelah Piala ❤️PENANG yang dianjurkan buat kali kedua yang mana ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
“Penganjuran kejohanan seperti ini sememangnya berpotensi menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu, membimbing anak-anak tempatan serta menjadikan mereka lebih kompetitif dalam arena bola sepak negara,” ujarnya.
Beliau yang membacakan teks ucapan Ketua Menteri pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 Anjuran Kelab Sukan dan Rekreasi Kawan-kawan dekat Dewan UMA Jalan Transfer di sini semalam turut teruja menghadiri melihat perkembangan kelab sukan berkenaan.
ADUN Batu Uban, A. Kumaresaan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran; Pengerusi Kelab Sukan Dan Rekreasi Kawan-Kawan, Mohamed Sikkandar Mohamed Madina dan Timbalan Pengerusi Kelab, Mohamed Irfan Sickandar Shah antara yang turut serta dalam majlis berkaitan di sini.
Dalam pada itu, ketika bercakap mengenai pembangunan sukan, Lai Heng menyatakan kepercayaan bahawa aktiviti sukan bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi juga merupakan wahana penting dalam pembentukan sahsiah, disiplin diri dan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
“Aktiviti sukan mampu menjadi jambatan penghubung antara kaum, agama serta latar belakang sosial, sekali gus memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan di negeri ini,” katanya yang juga menyantuni pengunjung yang hadir ke majlis tersebut.
Selain menghidangkan juadah lazim hari raya yang menyelerakan, Kelab Sukan Dan Rekreasi Kawan-Kawan turut berbesar hati memberi duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT