Aktiviti tanam pokok di kawasan sekolah, pupuk semangat cinta alam sekitar

Admin

BAGAN JERMAL – Aktiviti penanaman pokok di sekolah yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Bagan Jermal dan syarikat pembekal kasut, Pallas baru-baru ini, diharap mampu memupuk semangat dan menyemai perasaan cintakan akan alam sekitar terutamanya dalam kalangan para pelajar sekolah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal merangkap Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, program yang dijalankan ini juga bertujuan untuk menyemai sifat menghargai ekosistem yang semakin menipis dalam kalangan pelajar.

“Sebagai ADUN, saya mahu mewujudkan persekitaran hijau, bersih, sihat dan selamat di kawasan sekolah.

“Pengalaman penanaman pokok ini seharusnya diberikan peluang kepada semua pelajar supaya mereka dapat mengetahui kelebihan menanam, menyiram dan juga menjaga pokok yang telah ditanam.

“Oleh itu, diharapkan program penanaman pokok yang dijalankan hari ini dapat memberi manfaat kepada pelajar-pelajar serta guru-guru di sekolah ini secara keseluruhannya,” ujarnya ketika berucap merasmikan program berkaitan di Sekolah Kebangsaan Bagan Jermal (SKBJ) dekat sini pada 20 Julai lalu.

Hadir sama, Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Khong Chee Seong; Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Azhan Ismail; Guru Besar SKBJ, Zainal Ahmad dan Pengurus Jenama Pallas, Jo Yee Fong Choo.

Sebanyak 16 batang pokok jenis ‘Bucida’ disumbangkan oleh syarikat Pallas dan ditanam di sekitar kawasan sekolah.

Sementara itu, Zainal Ahmad ketika ditemui, berharap program agar program penanaman pokok berkenaan boleh membantu para pelajar untuk terus komited memelihara dan selamatkan bumi.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: NUR AMIRAH HUSNA ROSLAN