Anjur Car Free Morning dapatkan respons awam

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

SEBERANG JAYA – Kerajaan Negeri terus gigih melaksanakan polisi hijau di Pulau Pinang, dan terbaru Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bakal menganjurkan program Car Free Morning ( Sepagi Tanpa Kereta) di Jalan Todak 2 serta Jalan Todak 3 berhadapan pusat membeli belah Sunway Carnival di sini mulai April ini.

Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif berkata, program tersebut adalah projek perintis untuk mendapat respons orang ramai.

“Ianya akan dimulakan seawal 6 pagi, hari Ahad. “Untuk permulaan, kita (MPSP) akan adakan Car Free Morning ini hanya satu bulan sekali pada minggu pertama bulan berkenaan,” jelasnya kepada wartawan sejurus selesai mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Yang Ke -1/2015 (487) di Kompleks Ibu Pejabat MPSP, Bandar Perda di sini baru-baru ini.

Menurut Maimunah, MPSP boleh mendapatkan maklum balas awam sebanyak mungkin sepanjang tempoh tiga bulan pelaksanaan polisi hijau tersebut.

“Orang ramai turut dipelawa untuk bersama-sama beriadah di sini bersama keluarga secara berbasikal, berjalan kaki atau apa-apa aktiviti riadah tanpa motor bagi menjayakan program ini di samping menjaga kesihatan.

“Jika didapati sambutan adalah menggalakkan, mungkin kita (MPSP) akan tambah dari segi kekerapan minggu penganjuran,” ujar beliau.