PPK gotong-royong perangi aedes!

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : PPK

PINANG TUNGGAL – Kerajaan Negeri melancarkan kempen Penang Sihat melalui Program Gotong-royong Perdana melibatkan 40 lokaliti terpilih di seluruh negeri berikutan kebimbangan peningkatan kes demam denggi termasuk dua kematian dicatatkan awal tahun ini di sini.

Program Gotong-royong Perdana yang dilancarkan pada 2014 diteruskan membabitkan kelimalima daerah di negeri ini dengan penglibatan agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Di Pinang Tunggal, Taman Selesa, Kampung Selamat dipilih sebagai salah satu daripada 40 lokaliti dalam program gotong-royong kali ini.

Menurut Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Pinang Tunggal, Muhasdey Muhammad , beliau amat menyokong inisiatif dijalankan Kerajaan Negeri.

“Sungguhpun hanya lokasi ‘panas’ dipilih untuk gotong-royong kali ini, pihak kami tetap melaksanakannya secara bulanan di semua kawasan bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes sekaligus mengekang penularan wabak denggi di Pinang Tunggal,” katanya yang turut serta dalam aktiviti membersihkan kawasan di sini barubaru ini.

PPK Sungai Dua, Zahadi Mohammad dan PPK Teluk Air Tawar, Norhayati Jaafar turut tidak ketinggalan membantu dalam Program Gotong-Royong Perdana di Kampung Selamat tersebut.

Dalam pada itu, di Kampung Seronok, Bayan Lepas, PPK Bayan Lepas, Jamaludin Said turut turun padang membantu dan berjumpa dengan penduduk setempat.

Katanya, selain program gotongroyong yang diadakan ini, pihaknya dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti ( JKKK )  turut menganjurkan kempen Jom Ganyang Aedes mengikut kawasan kampung.

Bagi PPK Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan PPK Teluk Bahang, Halil Sabri Hamid, mereka senada menyatakan bahawa program yang diadakan ini secara tidak langsung dapat membendung penularan demam denggi selain mewujudkan komuniti setempat yang mengutamakan kebersihan dan kesejahteraan setempat.

“Macam di Pulau Betong sendiri, kami akan menggerakkan pasukan Combi untuk menjalankan aktiviti pencegahan denggi sama ada melalui gotong-royong, mahupun aktiviti penerangan dan pendidikan,” jelas Mohd. Tuah.

Menurut kenyataan Bahagian Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang bertarikh 28 Januari baru-baru ini melaporkan bahawa sehingga 24 Januari lalu, sebanyak 398 kes denggi dilaporkan berbanding 151 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu (2014) dengan peningkatan 247 kes (163.58%).