GEORGE TOWN – Program Serumpun @Syawal 2025 anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pulau Pinang yang diadakan pada 19 April lalu bukan sahaja berjaya menghimpunkan klien baharu serta waris di bawah Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Komuniti (RPDK) malah turut memberi kefahaman mengenai perjalanan pemulihan dadah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng berkata, penganjuran program tersebut amat penting bagi membina jaringan sokongan dalam komuniti.
“Kita mahu memastikan mereka yang terlibat (dengan penyalahgunaan dadah) diberi peluang kedua untuk pulih dan kembali menyumbang kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis yang diadakan sempena Program Orientasi Perdana Klien RPDK di Menara JKP dekat Jalan Macalister di sini.
Hadir sama, Pengarah AADK Negeri, Roswati Apin dan Penolong Pengarah Penguatkuasa dan Keselamatan AADK Negeri, Aina Rafida Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Lai Heng memberitahu bahawa beliau percaya langkah penganjuran tersebut juga mampu memberi kesedaran dan pengetahuan tentang tanggungjawab masing-masing.
“Saya percaya langkah ini akan meningkatkan kesedaran, pengetahuan dan pada masa sama mengukuhkan hubungan antara klien, ahli keluarga dan pegawai AADK itu sendiri,” ujarnya.
Sementara itu, dalam siaran media AADK Negeri Pulau Pinang, memaklumkan bahawa program tersebut bukan sekadar sesi orientasi, tetapi juga satu usaha untuk memperkukuhkan silaturahim dalam suasana santai Syawal.
“Serumpun @Syawal 2025 memberikan peluang kepada klien untuk memahami perjalanan pemulihan mereka dalam suasana yang menyokong dan inklusif.
“Ia mencerminkan komitmen AADK untuk mendekati komuniti secara holistik dan menyeluruh.
“Semoga program ini menjadi pemangkin pada kejayaan pemulihan dan pemerkasaan klien ke arah kehidupan yang lebih baik,” sebagai memetik siaran media tersebut.
Bertemakan ‘Erat Silaturahim, Perkukuh Tanggungjawab’, objektif utama program juga adalah untuk menjelaskan syarat-syarat pengawasan yang peru dipatuhi sepanjang tempoh rawatan selain menekankan implikasi pelanggaran syarat di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 2024).
Antara pengisian program adalah taklimat berkaitan program rawatan dan pemulihan, i-Pulih dan pengenalan fungsi serta peranan AADK yang disampaikan oleh pegawai penguat kuasa.
Para klien dan waris turut diberikan ruang untuk sesi soal jawab antara peserta dan pegawai serta berpeluang menjalani ujian saringan HIV dan Hepatitis C yang dikendalikan oleh AIDS Action & Research Group (AARG).
Difahamkan, program Serumpun @Syawal 2025 turut melibatkan penyertaan dari setiap daerah di Pulau Pinang.
Oleh : M. DANESWARAN
Gambar : AADK