GEORGE TOWN – Peletakan jawatan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan disifatkan sebagai satu keputusan sukar yang membawa mesej penting mengenai keperluan memelihara kepentingan negara serta memastikan hala tuju kepimpinan yang baik demi kesejahteraan rakyat.
Pengerusi Pakatan Harapan Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, keputusan yang diambil Siew Fook bukan sesuatu yang mudah, sebaliknya mencerminkan kesediaan beliau memikul tanggungjawab atas prinsip dan pertimbangan kepentingan negara.
Menurut beliau, peletakan jawatan tersebut amat dirasai, namun alasan di sebalik keputusan itu adalah perkara yang telah diketahui umum, khususnya berkaitan isu keputusan tahanan rumah melibatkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak yang masih menjadi perbincangan.
“Saya memandang peletakan jawatan Saudara Anthony Loke (Siew Fook) sebagai satu keputusan yang menyakitkan hati.
“Keputusan ini menunjukkan satu sikap yang bukan mementingkan kepentingan diri, sebaliknya membawa mesej penting bahawa kita perlu memelihara negara supaya mempunyai hala tuju yang baik serta terus memartabatkan rakyat.
“Peletakan jawatan itu bukan satu pilihan yang mudah dibuat tetapi atas pertimbangan tersebut, Saudara Anthony Loke (Siew Fook) sanggup memikul tanggungjawab itu,” ujarnya ketika diminta mengulas keputusan Siew Fook melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan perkembangan isu keputusan tahanan rumah membabitkan Najib.
Mengulas lanjut mengenai kemungkinan kepakaran dan pengalaman Siew Fook boleh dimanfaatkan di negeri-negeri lain termasuk Pulau Pinang, Kon Yeow menyatakan bahawa perkara tersebut memerlukan perbincangan dengan pihak berkaitan bagi mengenal pasti pendekatan terbaik.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menegaskan bahawa DAP sentiasa terbuka untuk mempertimbangkan pelbagai langkah dalam menangani isu serta cabaran politik yang dihadapi parti.
Dalam pada itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa keputusan peletakan Siew Fook turut mendapat restu Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP.
“Saya percaya langkah-langkah seterusnya juga akan dibincangkan dan dipertimbangkan oleh CEC bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah bijak, mampan dan lestari,” jelasnya.
Kon Yeow dalam pada itu turut menyatakan keyakinan bahawa sebarang keputusan susulan akan mengambil kira kepentingan parti dan tanggungjawab lebih besar dalam memastikan kestabilan serta hala tuju negara terus terpelihara.
Semalam, Siew Fook mengumumkan peletakan jawatan dalam barisan Kabinet berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan Najib menjalani tahanan rumah.
Beliau berkata, keputusan itu juga selari dengan pendirian beliau yang diumumkan pada 6 November lalu.