Anwar umum peruntukan tambahan RM5 juta, mini UTC di Teluk Kumbar

Admin
img 20250719 wa0073

BAYAN LEPAS – Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta untuk pelaksanaan beberapa projek asas baharu (selain yang telah tersenarai) yang diperlukan oleh rakyat di daerah Barat Daya, khususnya Teluk Kumbar.

Selain itu, Anwar turut mengumumkan kelulusan bagi mewujudkan sebuah mini Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Kompleks Madani Teluk Kumbar yang dijangka siap pembinaan pada 31 Januari 2027.

“Sekarang sudah ada dua UTC di Pulau Pinang iaitu di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Bagan (diumumkan dalam Belanjawan 2025), jadi kita buat mini UTC di Kompleks Madani Teluk Kumbar.

“Saya gembira dengan pembinaan Kompleks Madani Teluk Kumbar ini yang bersifat lebih menyeluruh dan memenuhi keperluan penduduk di sini serta kawasan sekitarnya.

“Berhubung peruntukan RM5 juta untuk pelaksanaan projek-projek di luar senarai sedia ada, saya akan beritahu kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) untuk menambah peruntukan berkaitan bagi pembangunan kemudahan asas baharu yang diperlukan penduduk di sekitar (daerah) Barat Daya, Teluk Kumbar dan Balik Pulau.

“Semua projek ini perlu dilaksanakan pada tahun ini juga, jadi kita (kerajaan Persekutuan) minta permohonan dibuat secara teratur supaya kita dapat luluskan projek-projek tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kompleks Madani Teluk Kumbar yang turut dihadiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini sebentar tadi.

img 20250719 wa0071img 20250719 wa0072img 20250719 wa0067 img 20250719 wa0070

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long; Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. A. Rajendran serta ketua-ketua jabatan Negeri dan Persekutuan.

Sementara itu, Kon Yeow berkata bahawa pembinaan Kompleks Madani Teluk Kumbar yang menelan kos RM25 juga itu bukan sekadar sebuah pasar baharu tetapi turut menjadi mercu tanda kepada lokaliti setempat yang sekian lama dinantikan oleh penduduk setempat.

“Projek ini merupakan satu lagi langkah signifikan Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui MBPP dalam usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan menyediakan kemudahan awam yang lebih cekap, selamat dan inklisif.

“Difahamkan bahawa kompleks ini bukan sahaja bakal menjadi hab perkhidmatan yang menyeluruh tetapi turut menyumbang kepada pengurangan kesesakan trafik, khususnya di kawasan Bayan Lepas.

“Oleh itu, saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Datuk Bandar dan semua barisan Ahli Majlis MBPP yang telah memberi sokongan dan meluluskan bajet bagi projek yang dinanti-nanti oleh penduduk di Teluk Kumbar.

Dalam pada itu, Rajendran memberitahu bahawa Kompleks Madani Teluk Kumbar yang dibina di atas tanah seluas 4.37 ekar itu bakal dilengkapi dengan 78 gerai, kiosk (8), dewan serbaguna yang dilengkapi lima gelanggang badminton, pejabat serta tempat letak kereta (103), motosikal (54) dan basikal (22).

Selain itu, beliau berkata bahawa bangunan kompleks dua tingkat dengan keluasan 74,000 kaki persegi itu turut dilengkapi dengan ciri bangunan hijau, kemudahan reka bentuk sejagat, tandas, bilik persalinan dan lain-lain komponen berkaitan.

“Kompleks Madani Teluk Kumbar akan merancakkan ekonomi setempat serta menambah baik taraf kehidupan warga komuniti yang dapat menyumbang kepada kemakmuran negeri Pulau Pinang dan juga negara.

“Malah, projek ini adalah interpretasi MBPP sejajar dengan Visi Penang2030 dan konsep Malaysia Madani yang berteraskan kepada prinsip urus tadbir baik, inklusif serta sensitif terhadap keperluan dan kehendak rakyat,” ulasnya.

Terdahulu, Rajendran meminta Perdana Menteri supaya meluluskan sebuah mini UTC di Kompleks Madani Teluk Kumbar bagi memudahkan penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS