Arahan NADMA No.1 jadi panduan utama pengurusan bencana negeri, respons Exco

Admin
whatsapp image 2025 05 19 at 12.06.58 (1)

GEORGE TOWN – Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1 akan menjadi panduan utama jika kejadian letupan dan kebakaran paip gas di Putra Heights pada 1 April lepas hingga membawa anggaran kerugian berjumlah RM65.4 juta, terjadi di negeri.

Berdasarkan Arahan NADMA No.1 itu, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari berkata pelan kontigensi kecemasan negeri yang dilaksanakan adalah meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian bencana, termasuk pengurangan risiko bencana.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga itu lagi, pelaksanaan Arahan NADMA No. 1 antara lain bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya pembaziran, kekeliruan, konflik dan percanggahan semasa pengurusan bencana.

“Malah, maklumat terkini berhubung bencana yang berlaku akan disampaikan kepada orang awam melalui media, media sosial serta saluran rasmi Kerajaan.

“Selain itu, sekiranya bencana yang berlaku adalah di luar kawalan dan menyebabkan pencemaran udara atau lain-lain kesan yang serius, Kerajaan Negeri boleh mengisytiharkan kawasan tertentu sebagai kawasan darurat,” ujarnya.

Zairil menjawab Soalan Lisan ADUN Machang Bubuk, Lee Khai Loon sempena persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang yang Ke-15 di sini pada 16 Mei 2025.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ALISSALA THIAN & NUR BATRISYA IDRUS