GEORGE TOWN – Aras Sungai Muda di Muka Sauk Lahar Tiang direkodkan berada di bawah paras selamat 2.0 meter (m) selama lapan hari berturut-turut bermula 22 April hingga 29 April 2026, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kestabilan bekalan air di Pulau Pinang dan Kedah.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa perkembangan tersebut telah menjejaskan keupayaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk mengabstrak air mentah pada kadar normal.
“Dalam keadaan biasa, kadar abstraksi air mentah PBAPP dari Sungai Muda adalah sebanyak 1,119 juta liter sehari (JLH).
“Namun, dalam tempoh lapan hari kebelakangan ini, kadar terendah yang direkodkan hanyalah 896 JLH,” jelasnya dalam kenyataan di sini sebentar tadi.
Menurut Kon Yeow, bagi memastikan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua terus beroperasi pada kapasiti optimum serta mengelakkan gangguan bekalan air terawat, PBAPP telah melepaskan antara 58 JLH hingga 274 JLH air dari Empangan Mengkuang Diperbesarkan (EMD).
Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa langkah tersebut turut memberi kesan kepada kapasiti empangan berkenaan apabila paras efektif EMD sebanyak 86,400 juta liter (ML) menurun 1.9 peratus, iaitu daripada 92.1 peratus pada 22 April kepada 90.2 peratus pada 29 April 2026.
Dalam pada itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa penurunan kapasiti Empangan Beris di Kedah adalah lebih membimbangkan apabila mencatatkan penyusutan 4.6 peratus dalam tempoh sama.
“Kapasiti Empangan Beris kini merosot daripada 56.5 peratus kepada 51.9 peratus, dengan kadar penurunan purata 0.58 peratus sehari.
“Empangan Beris merupakan satu-satunya empangan di Kedah yang masih mampu melepaskan air ke dalam sistem Sungai Muda ketika ini,” ujarnya.
Kon Yeow dalam pada itu turut memberi amaran bahawa sistem Sungai Muda berisiko mengalami kekeringan sekiranya tiada hujan lebat di kawasan tadahan Empangan Beris dan Empangan Muda dalam tempoh Mei hingga Julai 2026.
“Sebanyak 11 muka sauk bekalan air dan sembilan muka sauk pengairan di Pulau Pinang dan Kedah bergantung sepenuhnya kepada Sungai Muda bagi memenuhi keperluan harian.
“Justeru, PBAPP memohon campur tangan segera daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) bagi mengelakkan potensi krisis air pada tahun ini,” ulasnya.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menegaskan bahawa keutamaan perlu diberikan kepada bekalan air berikutan beberapa faktor kritikal, termasuk keadaan Empangan Muda yang kini tidak lagi berfungsi secara efektif.
“Kapasiti Empangan Muda merosot secara mendadak sebanyak 64.7 peratus dalam tempoh 51 hari, daripada 84.6 peratus pada 1 Januari 2026 kepada hanya 19.9 peratus pada 20 Februari 2026, dan setakat 29 April 2026, parasnya hanyalah 8.7 peratus,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya Empangan Beris terus menyusut pada kadar semasa, empangan itu dijangka mencapai tahap kritikal 20 peratus dalam tempoh kira-kira 55 hari.
Dalam masa sama, beliau menyatakan bahawa musim Monsun Barat Daya yang dijangka bermula Mei hingga September lazimnya membawa taburan hujan yang rendah, sekali gus meningkatkan risiko kekurangan sumber air.
“Pulau Pinang dan Kedah bergantung kepada Sungai Muda setiap hari bagi memastikan bekalan air mencukupi kepada berjuta-juta pengguna termasuk sektor industri seperti syarikat multinasional (MNC) dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Bayan Lepas, Prai, Batu Kawan, Mak Mandin dan Kulim.
“Walaupun pembenihan awan mungkin dilaksanakan, langkah itu tidak menjamin jumlah hujan yang mencukupi untuk memulihkan paras empangan ke tahap selamat,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING