BATU UBAN – Pendekatan arkeologi dan kajian sejarah disifatkan penting dalam usaha mengenal pasti asal-usul serta perkembangan peradaban manusia di rantau ini, khususnya yang membabitkan Pulau Pinang.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, melalui bidang arkeologi dan sejarah, kita dapat memahami faktor geografi, perdagangan serta hubungan antara tamadun dalam pembentukan budaya, ekonomi dan sosial negeri ini.
“Sebagai contoh, pembukaan negeri Pulau Pinang sering dikaitkan dengan penjajahan British melalui Kapten Francis Light, yang menjejakkan kaki ke Tanjung Penaga (kini George Town) pada tahun 1786.
“Namun, seperti yang dibuktikan melalui penyelidikan arkeologi dan sejarah, kisah Pulau Pinang sebenarnya bermula jauh lebih awal.

“Ia bukan sekadar catatan kolonial, tetapi kisah panjang mengenai jaringan perdagangan, budaya dan komuniti serantau antara Kedah, Aceh, Sumatera dan dunia maritim Nusantara,” katanya ketika berucap pada Forum Warisan Pulau Pinang 2025 di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, pagi tadi.
Turut hadir, Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Ar. Zalena Abdul Aziz; Dekan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM, Prof. Madya Dr. Jasni Sulong dan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global USM, Prof. Dr. Stephen Chia Ming Soon.

Mengulas lanjut, Hon Wai berkata, kedudukan Pulau Pinang turut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah Perkara 1(2).
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong berharap forum tersebut dapat menjadi platform pertemuan antara kumpulan profesional, penyelidik, penggiat warisan dan pihak berkepentingan untuk mengemukakan pandangan serta berkongsi kepakaran dalam pelbagai aspek berkaitan warisan negeri.
Antara barisan panel yang hadir ialah Prof. Dr. Stephen Chia, yang membincangkan sejarah awal Pulau Pinang; Datin Dr. Mahani Musa (hubungan Pulau Pinang dan Kedah); Marcus Langdon (era East India Company); dan Clement Liang (komuniti awal Pulau Pinang).
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN