GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia – Amerika Syarikat (ART) yang baru dimeterai masih belum dapat dikenal pasti kesan langsung secara menyeluruh terhadap Pulau Pinang.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi bagaimanapun menyatakan bahawa perjanjian tersebut dijangka membuka ruang lebih luas kepada sektor elektrik dan elektronik (E&E) negeri untuk menembusi pasaran Amerika Syarikat.
Menerusi ART yang telah dimeterai ini juga, menurut Kon Yeow, Pulau Pinang berpotensi untuk menarik kemasukan pelaburan asing langsung (FDI) baharu serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
“Bayangkan jika perjanjian (ART) ini tidak dimeterai, maka, tarif (perdagangan) yang dikenakan pada asal akan kekal tidak akan diturunkan, dan impaknya akan besar atau lebih besar (berbanding implikasi) daripada perjanjian ART dimeterai,” jelasnya sebagai menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Izhar Shah Datuk Arif Shah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang dekat sini pada 18 November 2025.
Di samping itu, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri kekal memandang positif pada pemeteraian ART berkaitan, sungguhpun perjanjian itu mempunyai risiko dan peluang mencabar terhadap sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pertanian serta industri halal di Pulau Pinang.
“Dalam konteks industri halal, Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-Amerika Syarikat (ART) dijangka membuka peluang akses pasaran bebas tarif kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) halal tempatan ke pasaran Amerika Syarikat.
“Inisiatif ini berpotensı menjadikan aktiviti eksport lebih mudah dan kos efektif, di samping membolehkan PKS halal negeri berintegrasi dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi sebagai rakan kongsi strategik kepada syarikat Amerika Syarikat dalam industri berteknologi tinggi.
“Sokongan berterusan daripada Kerajaan Negeri serta kerjasama rapat dengan agensi Persekutuan dan sektor swasta dijangka membantu PKS halal tempatan memanfaatkan peluang ini serta memperluas operasi mereka ke peringkat antarabangsa,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN & LAW SUUN TING
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD